PARIS: Max Verstappen mengambil peluang berehat musim Formula Satu yang mengecewakan dengan menyertai perlumbaan empat jam di Nürburgring, Jerman namun kemenangannya dibatalkan.
Juara dunia Formula Satu (F1) empat kali dari Belanda itu sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding dalam perlumbaan 24 jam Nurburgring pada Mei.
Bertanding dalam kelas GT3, Verstappen meraih petak pertama di konfigurasi penuh Nürburgring sepanjang 24.358 kilometer dengan kelebihan hampir dua saat.
Berkongsi pemanduan bersama pelumba Perancis Jules Gounon dan pelumba Sepanyol Daniel Juncadella dalam jentera Mercedes berwarna Red Bull yang dikendalikan pasukan Winward, Verstappen membantu membawa kereta mereka ke garisan penamat dengan kelebihan hampir satu minit sebelum campur tangan pegawai perlumbaan.
Namun, kereta tersebut dibatalkan penyertaan kerana menggunakan tujuh set tayar sepanjang perlumbaan, sedangkan hanya enam dibenarkan.
“Pembatalan ini sukar diterima. Malangnya, kami melakukan kesilapan dalaman yang menyebabkan para stewards tiada pilihan selain menyingkirkan kereta pemenang,” kata ketua pasukan Winward, Christian Hohenadel, kepada Motorsport.com
Verstappen menamatkan perlumbaan pembukaan musim F1 di Grand Prix Australia pada 8 Mac di tempat keenam sebelum gagal menamatkan perlumbaan di Shanghai Ahad lalu. Beliau akan kembali ke Asia untuk Grand Prix Jepun minggu depan. – AFP/UTUSAN










