PETALING JAYA: Langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membawa skuad Harimau Malaya menjalani kem latihan di Thailand menjelang aksi menentang Vietnam dibuat secara terancang dan bukannya keputusan saat akhir.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski berkata, perancangan tersebut sudah disusun lebih awal sebagai sebahagian daripada pelan persiapan menghadapi perlawanan penting itu.
Menurutnya, pemilihan Bangkok bukan sekadar pilihan lokasi, sebaliknya hasil penelitian mendalam terhadap keperluan teknikal pasukan.
“Keputusan ini bukan dibuat secara mengejut kerana ia sudah dirancang sejak tiga bulan lalu selepas kami menilai kekangan fasiliti latihan dalam negara.
“Kami dapati Thailand menawarkan padang dan kemudahan yang lebih memenuhi standard skuad kebangsaan, selain masih berada dalam kawalan bajet,” kata Cklamovski.
Menurut beliau, kem latihan tersebut memainkan peranan penting dalam usaha membentuk semula keserasian pasukan sebelum turun beraksi.
Cklamovski turut menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan perlawanan persahabatan sepanjang berada di Bangkok. – UTUSAN










