Persembahan pemain Piala Thomas undang persoalan

Persembahan pemain Piala Thomas undang persoalan

RAZIF SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelemahan pemain perseorangan masih menjadi mimpi ngeri buat skuad badminton negara untuk bersaing dalam Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April ini

Perkara itu menjadi bualan susulan prestasi hambar di Kejohanan All England yang menyaksikan pemain negara masih gagal, malah terkandas di peringkat awal.

Legenda badminton negara, Razif Sidek berkata, pasukan negara sekurang-kurangnya memerlukan kombinasi dua kemenangan daripada beregu serta satu mata daripada perseorangan untuk memberi kelebihan dalam sesuatu perlawanan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan situasi berbeza berlaku dalam kem perseorangan lelaki yang masih belum menunjukkan peningkatan memberangsangkan menjelang kejohanan berpasukan paling berprestij itu.

“Masalah besar kita sekarang ialah perseorangan lelaki. Kalau kita dapat perbaiki sektor itu dalam masa terdekat, peluang untuk menang akan lebih cerah.

“Kalau tidak, memang agak sukar kerana dalam Piala Thomas kita perlu sekurang-kurangnya satu mata daripada perseorangan.

“Piala Thomas adalah cerita yang berbeza kerana ia acara berpasukan, manakala All England pula kejohanan individu. Beregu lelaki kita nampak sangat konsisten sampai ke final dan itu petanda yang baik.

“Beregu pertama sangat penting untuk menyumbang satu mata kepada pasukan. Jika mereka boleh melakukan tugas itu, peluang pasukan akan jadi lebih baik,” katanya.

Namun Razif mengakui Malaysia mungkin berdepan cabaran lebih sukar jika sektor perseorangan gagal bangkit dalam tempoh terdekat selain berharap barisan pemain perseorangan dapat meningkatkan persediaan dari segi taktikal, psikologi serta semangat juang menjelang kejohanan tersebut.

“Saya harap mereka tingkatkan persiapan, semangat dan juga strategi kerana masa pun sudah tidak lama. Kalau nak menang, persediaan sebenarnya perlu dibuat lebih awal.

“Apa pun kita harap yang terbaik untuk pasukan negara supaya mereka mampu mencipta sejarah dalam kejohanan itu nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN