Lonjak ranking Harimau Malaya

Lonjak ranking Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada kaedah lain yang menjadi pilihan untuk dilaksanakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melainkan melakukan reformasi menyeluruh termasuk memastikan skuad Harimau Malaya kembali mendaki ranking yang lebih baik seperti sebelum ini.

Langkah itu sendiri disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufik Johari yang mahu badan induk bola sepak negara itu segera melaksanakan tindakan yang perlu termasuk menyegerakan mesyuarat kongres bagi memilih barisan kepimpinan baharu.

Malaysia sebelum ini dikejutkan kejatuhan skuad Harimau Malaya ke tangga 135 ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), tergelincir sebanyak 14 anak tangga dari kedudukan 121 susulan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan ke atas Vietnam dan Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027.

“Saya juga berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada FAM, dengan bantuan AFC untuk mengenal pasti dan seterusnya melaksanakan reformasi dalaman yang perlu, serta mengadakan kongres bagi memilih barisan kepemimpinannya yang baharu,” katanya. 

Kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya pastinya menyulitkan misi pengendali pasukan kebangsaan, Peter Cklamovski yang diletakkan sasaran untuk membawa Malaysia berada dalam kelompok 100 terbaik.

Begitu pun, Cklamovski enggan menekan butang panik sebaliknya kekal bertenang malah percaya sasaran yang ditetapkan kepadanya itu dapat direalisasikan.

“Saya rasa dalam setiap cerita yang hebat, pasti ada negatifnya. Kita perlukan masa dan lakukannya langkah demi langkah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×