PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bakal melakukan persiapan untuk berdepan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac ini di Bangkok, Thailand.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, segala persiapan untuk ke Bangkok telah dilakukan dengan senarai pemain juga telah disiapkan oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski
“Sekarang tunggu pengumuman senarai pemain skuad kebangsaan sahaja, ketua jurulatih pastinya ada perancangan tersendiri tanpa tujuh tonggak warisan yang digantung.
“Ada dimaklumkan skuad negara akan buat persiapan di Bangkok sebelum berlepas ke Hanoi untuk berdepan Vietnam, persiapan mungkin sembilan atau 10 hari,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, persiapan skuad kebangsaan juga bergantung kepada keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung status Malaysia dalam aksi kelayakan.
Ketika ini Harimau Malaya berisiko di potong enam mata selepas menurunkan pemain yang tidak layak ketika berdepan Vietnam dan Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan hukuman lanjut akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas penelitian dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin.
Buat masa ini, skuad negara mendahului Kumpulan F dengan 15 mata selepas menang semua lima perlawanan dan akan menentang Vietnam untuk aksi kelayakan terakhir di Hanoi.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menjatuhkan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain warisan negara yang digantung 12 bulan susulan isu pemalsuan dokumen pada September tahun lalu.
Bagaimanapun, CAS memberi kelonggaran buat Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal dan Hector Hevel menjalani latihan bersama kelab masing-masing.
Namun, semua pemain warisan negara itu masih ‘diharamkan’ daripada sebarang aksi kompetitif sehingga November depan selepas diberi penangguhan sementara selama sebulan untuk bermain oleh CAS pada bulan lalu. – UTUSAN










