Gen Z: Generasi digital tapi intelek merosot

Gen Z: Generasi digital tapi intelek merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBINCANGAN tentang kemerosotan tahap intelek generasi muda semakin mendapat perhatian sarjana pendidikan dan neurosains di seluruh dunia.

Antara tokoh yang sering dipetik dalam perbincangan topik ini ialah ahli neurosains dan pendidik, Dr. Jared Cooney Horvath yang memberi keterangan kepada Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat (AS) mengenai perubahan kognitif dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, generasi dikenali sebagai Gen Z iaitu mereka yang lahir sekitar 1997 hingga awal 2010-an merupakan generasi pertama dalam sejarah moden yang menunjukkan pencapaian akademik dan tahap kognitif lebih rendah berbanding generasi sebelumnya, khususnya golongan milenial.

Penilaian merentas pelbagai negara menunjukkan kemerosotan dalam perhatian, memori, literasi, kemahiran matematik, fungsi eksekutif serta ukuran umum tahap kecerdasan (IQ).

Fenomena ini amat membimbangkan kerana sejak awal abad ke-20, kebanyakan negara menyaksikan ‘Flynn Effect’ iaitu peningkatan skor IQ antara generasi, namun trend tersebut dilihat mula mendatar, malah menurun, mulai 2010.

Antara punca utama yang dikenal pasti dan diperkatakan di media antarabangsa ialah pendedahan berlebihan kepada skrin digital sejak usia kanak-kanak. Gen Z ialah generasi pertama yang membesar sepenuhnya dalam dunia telefon pintar, tablet dan internet tanpa had.

Penyelidikan menunjukkan, remaja hari ini menghabiskan hampir separuh hari menatap skrin, sama ada melalui media sosial, permainan digital atau bahan pembelajaran berasaskan teknologi.

Pendedahan berterusan kepada rangsangan visual dan maklumat pantas menyebabkan otak kurang terlatih untuk memberi tumpuan secara mendalam dalam tempoh panjang.

Dari sudut neurosains pembelajaran, keupayaan seseorang menumpukan perhatian berpanjangan merupakan asas kepada proses pemindahan maklumat daripada memori jangka pendek kepada memori jangka panjang.

Apabila proses ini terganggu oleh rangsangan digital yang sentiasa berubah, maka pembelajaran mendalam (in-depth learning) menjadi semakin sukar.

Punca kedua ialah budaya doomscrolling iaitu tabiat melayari tanpa henti kandungan dalam talian, khususnya berita atau video pendek yang merangsang emosi.

Fenomena ini bukan sahaja menyebabkan keletihan mental tetapi juga menghasilkan sarat maklumat.

Kajian mengenai media sosial menunjukkan, manusia mempunyai had semula jadi dalam memproses maklumat. Apabila maklumat terlalu banyak dan pantas, maka kualiti pemahaman menurun secara drastik.

Dalam konteks Gen Z, tabiat ini melatih otak untuk menerima maklumat secara ringkas dan terpecah-pecah, bukan secara analitikal dan mendalam sebagaimana diperlukan semasa melakukan proses pembacaan buku.

Faktor ketiga membawa kita memberi tumpuan kepada aspek kemerosotan budaya membaca buku yang serius. Para penyelidik pendidikan menegaskan, proses pembacaan teks yang panjang, khususnya buku bercetak, memainkan peranan penting dalam perkembangan kosa kata, pemikiran abstrak dan keupayaan membuat kesimpulan berasaskan maklumat terkumpul.

Malangnya, kajian saintifik menunjukkan semakin ramai pelajar universiti juga kini lebih cenderung membaca ringkasan digital atau bahan yang dipadatkan dalam bentuk klip video pendek.

Apabila pembacaan mendalam digantikan dengan maklumat yang disederhanakan atau diringkaskan, natijahnya keupayaan memahami teks kompleks juga semakin lemah.

Punca keempat berkait dengan penggunaan teknologi pendidikan atau edtech yang berlebihan dalam bilik darjah. Secara teori, teknologi sepatutnya meningkatkan pembelajaran.

Namun, kajian yang dibentangkan oleh Dr. Jared menunjukkan, penambahan penggunaan komputer dan tablet di sekolah tidak semestinya meningkatkan pencapaian akademik.

Hal ini berlaku kerana teknologi sering menggalakkan pembelajaran secara pantas menerusi bahan visual dan data ringkas, sedangkan pembelajaran sebenar memerlukan latihan mental yang perlahan dan berstruktur.

Faktor kelima ialah pemendekan tempoh perhatian (attention span). Rangsangan digital yang pantas melatih otak untuk mencari ganjaran segera. Ini sebenarnya satu fenomena yang sering dikaitkan dengan mekanisme dopamin dalam otak.

Apabila otak terbiasa dengan ganjaran segera, aktiviti yang memerlukan kesabaran seperti membaca buku tebal, menikmati karya fiksyen penuh imaginasi, membaca karya yang mencabar minda, menyelesaikan masalah matematik atau menulis esei panjang menjadi kurang menarik.

Penyelidik neurokognitif menjelaskan keadaan ini akhirnya melemahkan fungsi eksekutif otak yang berkaitan dengan perancangan, disiplin diri dan pemikiran kritikal.

Punca keenam ialah fenomena keyakinan diri yang tidak seimbang dengan tahap pengetahuan sebenar. Dr. Jared yang turut menulis buku, The Digital Delusion (2025) berkata, sebahagian remaja Gen Z menunjukkan tahap keyakinan tinggi terhadap kebolehan intelektual mereka walaupun prestasi akademik sebenar yang dimiliki tidak sepadan dengan keangkuhan ditunjukkan.

Fenomena ini pula berkait rapat dengan budaya maklumat segera di internet. Misalnya, apabila jawapan boleh dicari dalam beberapa saat melalui enjin carian atau aplikasi di telefon pintar dalam genggaman tangan, seseorang merasakan dirinya memahami sesuatu topik serta konon sudah menjadi pakar bidang itu, walaupun sebenarnya tidak pernah mempelajarinya secara mendalam dan menyeluruh.

Punca ketujuh yang mahu saya tegaskan dalam konteks Malaysia ialah perubahan persekitaran sosial dan budaya yang terlalu bergantung kepada teknologi.

Dalam banyak keluarga moden, masa bermain di luar rumah, perbualan panjang sesama ahli keluarga serta aktiviti fizikal semakin digantikan hiburan digital.

Kita semakin lupa interaksi manusia secara langsung dan bersemuka merupakan komponen penting dalam perkembangan kognitif kanak-kanak. Para ahli neurosains menegaskan, otak manusia secara evolusi berkembang melalui interaksi sosial dan pembelajaran pengalaman sebenar, bukan semata-mata melalui skrin.

Hakikat ini pasti kita sedari dan akui kebenarannya jika mengimbas kenangan zaman kanak-kanak pada dekad 1970-an dan 1980-an, berbanding gaya hidup Gen Z hari ini.

 

UBAH SEGERA

Walau bagaimanapun, keadaan ini bukan takdir yang tidak boleh diubah. Bagi memastikan generasi muda di Malaysia tidak terus terperangkap dalam kemerosotan intelektual yang sama, beberapa langkah konstruktif perlu diambil secara serius.

Kita nantikan cadangan dan pelaksanaan kawalan kerosakan (damage control) segera daripada pihak berwajib sebelum nasi menjadi bubur dan generasi muda Malaysia terus mengalami kemerosotan tahap kognitif.

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×