Dominasi Verstappen semakin goyah

Dominasi Verstappen semakin goyah

Max Verstappen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUZUKA: Max Verstappen berdepan cabaran besar untuk meneruskan dominasi di Grand Prix (GP) Jepun pada Ahad apabila prestasi Red Bull merosot akibat peraturan baharu musim ini.

Juara dunia empat kali itu kini bergelut mendapatkan rentak selepas permulaan musim hambar yang menyaksikannya tercicir mata penting.

Sebaliknya, Mercedes tampil garang menerusi George Russell dan Kimi Antonelli yang menguasai dua perlumbaan awal musim.

Kedua-dua pelumba itu dijangka sekali lagi menjadi ancaman utama di Suzuka bersama cabaran daripada Charles Leclerc dan Lewis Hamilton.

“Menyelesaikan masalah kami bukan sesuatu yang mudah ketika ini.

“Ia akan banyak membantu jika kami dapat permulaan perlumbaan yang lebih baik kerana saya sering ketinggalan sejak awal,” kata Verstappen.

Dalam perkembangan sama, Antonelli mencuri tumpuan selepas mencatat kemenangan sulung kariernya sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada pasukan Mercedes.

“Keputusan ini memberi sedikit kelegaan kepada saya selepas segala tekanan yang dilalui sebelum ini.

“Ia juga meningkatkan keyakinan diri serta memberi gambaran jelas tentang kemampuan sebenar saya di pentas F1,” kata Antonelli.

Sementara itu, McLaren terus bergelut menyesuaikan diri dengan peraturan baharu apabila Lando Norris dan Oscar Piastri berdepan masalah teknikal berpanjangan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN