SIAPA sangka langkah kecil seorang murid tahun empat yang sekadar mengikut kawan menyertai kelab boling di sekolah akhirnya membawa kepada aksi di pentas dunia.
Itulah perjalanan atlet boling remaja negara, Adelia Nur Irwan Syazalee yang semakin mencuri perhatian selepas muncul antara pemain muda paling berpotensi dalam sukan tersebut.
Bagi atlet berusia 19 tahun itu, permulaannya cukup sederhana serta tiada perancangan besar, malah keluarganya sendiri tidak mempunyai latar belakang dalam sukan boling.
“Penglibatan saya dalam sukan boling bermula ketika saya berada di tahun empat. Masa itu saya cuma ikut kawan sertai kelab boling di sekolah. Memang tak sangka pun akan serius dalam sukan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, minat yang pada awalnya sekadar mencuba bertukar menjadi cinta mendalam terhadap sukan tersebut.
Semakin hari, Adelia mula memberi komitmen lebih tinggi terhadap latihan. Bakatnya mula disedari jurulatih, sekali gus membuka peluang untuknya berlatih di kelab luar bagi menimba lebih banyak pengalaman.
“Daripada hanya sekali seminggu, sesi latihannya meningkat kepada enam kali seminggu.Jurulatih nampak potensi saya. Bila keluarga nampak saya betul-betul minat, mereka mula beri sokongan penuh. Dari situ saya cuba buat yang terbaik dalam sukan boling,” ujarnya.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Adelia mengakui keluarga menjadi tulang belakang utama dalam setiap langkahnya sebagai atlet.
“Keluarga saya sangat menyokong minat saya sejak awal lagi dan mereka antara sumber semangat terbesar untuk saya terus berusaha,” katanya.
Namun, perjalanan sebagai atlet tidak pernah lari dari tekanan pertandingan, prestasi yang turun naik dan keperluan mengekalkan disiplin sering menguji ketahanan mentalnya.
“Kadang-kadang bila permainan tak menjadi, memang rasa ‘down’. Tapi sebagai atlet saya kena cepat atasi perasaan itu dan fokus untuk permainan seterusnya sampai ke frame terakhir,” jelasnya.
Baginya, setiap cabaran adalah proses pembelajaran yang membentuk dirinya menjadi atlet yang lebih matang dan kuat.
Detik yang paling sukar dilupakan tentunya apabila dia pertama kali diberi peluang beraksi bersama pemain skuad podium negara dalam Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong tahun lalu.
Bagi pemain muda itu, peluang tersebut bukan sekadar pengalaman, malah medan pembuktian.
Hasilnya cukup membanggakan apabila Adelia membawa pulang pingat perak acara perseorangan dan berpasukan serta gangsa acara all-event wanita.
“Rasa teruja sangat sebab dapat main bersama idola-idola negara dan belajar banyak daripada mereka dari segi teknik, strategi dan mental ketika pertandingan,” katanya.
Walaupun pencapaian itu menjadi detik penting dalam kariernya, Adelia menganggap ia hanyalah permulaan.
“Saya bersyukur dengan apa yang dicapai, tapi perjalanan masih panjang. Saya masih ‘hungry for more’ dan mahu terus memperbaiki permainan serta mencabar diri di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sebaliknya, dia mengagumi semua pemain wanita negara sama ada legenda terdahulu atau pemain yang masih aktif kerana setiap daripada mereka mempunyai kekuatan tersendiri.
“Daripada setiap pemain itu, saya cuba ambil perkara baik dan jadikan motivasi untuk tingkatkan permainan,” katanya.
Bagi remaja yang semakin menempa nama ini, impiannya cukup jelas terus mengharumkan nama negara dan keluarga di pentas antarabangsa. – UTUSAN










