BERGAMO: Bayern Munich menunjukkan kekuatan sebenar mereka sebagai antara calon juara selepas membelasah Atalanta 6-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, semalam.
Kemenangan besar itu menyaksikan skuad kendalian Vincent Kompany selangkah ke peringkat suku akhir selepas meraih bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di laman sendiri pada minggu depan.
Anak buah Kompany mendahului seawal minit ke-12 menerusi jaringan Josip Stanisic di Bergamo dan mereka terus mengganas dengan dua gol daripada Michael Olise, selain tambahan jaringan Serge Gnabry, Nicolas Jackson dan Jamal Musiala.
“Ini persembahan yang kami mahukan. Kami berbahaya sepanjang perlawanan. Kami mempunyai bakat dan kualiti dalam pasukan, jadi tidak mengejutkan apabila pemain mampu mempamerkan aksi seperti ini,” kata Kompany.
Bagi Atalanta, impian untuk mara ke suku akhir hampir mustahil dan jika gagal bangkit, penyingkiran mereka juga berpotensi menamatkan cabaran kelab Itali dalam Liga Juara-Juara musim ini.
Walaupun tewas kepada gergasi Eropah bukan sesuatu yang memalukan bagi kelab terkenal dengan pencapaian luar biasa sejak sedekad lalu, ia tetap malam yang sukar buat skuad kendalian Raffaele Palladino.
Sementara itu, penjaring gol tunggal Atalanta pada masa kecederaan, Mario Pasalic mengakui dia dan rakan sepasukan gagal mengikut strategi yang dirancang untuk berdepan gergasi Jerman itu.
“Kami tidak boleh berkata apa-apa selain memuji Bayern, malangnya ia tidak berjalan seperti kami harapkan, apa yang kami rancang dalam perlawanan ni tidak menjadi.
“Kami perlu menerima kekalahan ini, selepas ini kami hanya perlu cuba bermain dengan sedikit maruah pada aksi kedua nanti,” kata Pasalic. – AGENSI/UTUSAN










