PETALING JAYA: Ketua jurulatih sepak takraw, Ahmad Jais Baharun memberi amaran keras kepada pemain negara khususnya acara kuadran agar keluar dari zon selesa atau berdepan risiko digugurkan menjelang Piala Dunia 2026 di Kuala Lumpur pada Mei ini.
Ahmad Jais menegaskan, status sebagai juara Asia yang pernah diraih pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia tahun lalu sudah tidak relevan sekiranya pemain gagal mengikut pelan permainan serta enggan menyesuaikan diri dengan tuntutan taktikal moden yang semakin berkembang dalam acara itu.
“Pemain kita saya lihat masih selesa, masih tak mahu ikut perancangan taktikal. Kita sudah tak boleh tunggu lagi, tak boleh terus lena dengan kejayaan lampau.
“Kalau ada pemain yang kita rasa tak lagi boleh membantu pasukan kuadran, tidak mustahil mereka akan dikeluarkan (digugurkan) daripada program latihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad Jais, amaran tegas itu selari dengan pendirian Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang mahu melihat perubahan segera dalam sikap, disiplin dan pendekatan permainan pemain skuad kuadran negara.
Mengulas aspek teknikal, Ahmad Jais mengakui corak permainan pasukan kuadran negara masih ketinggalan berbanding kuasa besar lain yang kini sudah mengadaptasi sistem tiga hingga empat hadangan secara konsisten.
“Kita masih ragu-ragu dengan tiga hadangan, sedangkan pasukan lain sudah lama guna. Dari segi corak permainan pula, kita tak boleh lagi main cara lama, angkat tinggi, pukul sehala. Itu old school (cara lama),” katanya.
Sebaliknya, beliau menegaskan pasukan perlu beralih kepada permainan lebih pantas dan dinamik termasuk hantaran pendek, pergerakan kiri kanan serta silangan bola bagi menyaingi negara lain yang semakin berkembang.
Ahmad Jais turut merujuk kejutan pasukan India yang muncul juara aksi percubaan Sukan Asia di Nagoya selepas menewaskan Jepun dan perkara itu menjadi bukti bahawa revolusi taktikal adalah kunci kejayaan dalam acara kuadran ketika ini.
“Itu bukti bahawa siapa yang cepat menyesuaikan diri dengan teknik terkini akan ke depan. Prestasi pemain kuadran kita perlu digandakan jika kita mahu sesuatu yang boleh dibanggakan, lebih-lebih lagi kita beraksi di halaman sendiri,” ujarnya.
Dalam aksi ujian di Nagoya baru-baru ini, pasukan kuadran negara sekadar meraih pingat gangsa bersama Thailand, keputusan yang disifatkan Ahmad Jais masih jauh daripada tahap yang diharapkan. – UTUSAN










