PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2025 berakhir dengan satu mesej yang jelas tetapi tidak lengkap. Jelas kerana suara akar umbi semakin lantang menuntut UMNO kembali berdiri atas kaki sendiri, namun tidak lengkap kerana hala tuju strategik parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih kabur.
Ini kerana isu bertanding secara solo, yang menjadi sentimen dominan dalam kalangan perwakilan, tidak diberikan jawapan muktamad oleh pimpinan tertinggi.
Ucapan-ucapan dasar dan perbahasan perwakilan sarat dengan semangat kebangkitan, nostalgia kekuatan lama serta penegasan UMNO masih relevan sebagai parti Melayu nasionalis. Namun, di sebalik retorik tersebut, realiti politik semasa jauh lebih kompleks.
UMNO bukan lagi parti dominan seperti sebelum 2018, sebaliknya kini beroperasi dalam landskap politik berbilang paksi, dengan sokongan Melayu yang terpecah dan pengundi muda yang semakin kritikal.
PAU 2025 memperlihatkan jurang antara emosi politik akar umbi dan pertimbangan strategik kepimpinan.
Akar umbi mahu keputusan yang tegas tetapi pimpinan sedar sebarang keputusan tergesa-gesa boleh membawa implikasi besar terhadap kelangsungan parti.
Untuk memahami dilema UMNO hari ini, pencapaian pilihan raya perlu dijadikan asas analisis, bukan semata-mata sentimen. Dalam PRU15 pada November 2022, UMNO mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarahnya dengan hanya memenangi 26 kerusi Parlimen, manakala Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan memperoleh 30 kerusi. Angka ini jauh merosot berbanding 79 kerusi Parlimen yang dimenangi BN pada PRU14.
PRU15 juga membuktikan UMNO bukan sahaja kehilangan sokongan bukan Melayu, malah gagal mempertahankan sebahagian besar undi Melayu, khususnya di Pantai Timur dan negeri-negeri utara.
Pas muncul sebagai parti dominan dalam kalangan pengundi Melayu, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil alih sebahagian ruang yang sebelum ini dikuasai UMNO di kawasan separa bandar.
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 pula mengukuhkan gambaran tersebut. UMNO dan BN hanya mampu mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dengan kemenangan tersebut pula banyak bergantung kepada kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kekal dikuasai Perikatan Nasional (PN), dengan Pas muncul sebagai kuasa dominan. Di Selangor dan Pulau Pinang, UMNO hanya berperanan sebagai pelengkap dalam kerajaan negeri, bukan peneraju.
Statistik ini memperlihatkan satu hakikat yang sukar dinafikan ialah kekuatan UMNO hari ini bersifat terhad, bersandar kepada wilayah tertentu dan tidak lagi berskala nasional.
Desakan agar UMNO bertanding solo bukanlah sesuatu yang baharu. Ia berpunca daripada rasa terhakisnya identiti parti apabila berada dalam gabungan besar, khususnya bersama PH. Bagi akar umbi, bertanding solo dilihat sebagai jalan untuk memulihkan maruah, autonomi dan kejelasan ideologi UMNO.
Namun, politik bukan sekadar soal simbol dan emosi. Bertanding solo dalam PRU16, dengan masa persiapan kurang daripada dua tahun, membawa risiko yang amat besar.
Ini kerana struktur sokongan UMNO belum pulih sepenuhnya, keahlian muda masih belum dapat digerakkan secara efektif dan naratif parti masih bersifat defensif berbanding ofensif.
Dalam banyak kawasan, pertandingan tiga penjuru hampir pasti berlaku jika UMNO memilih jalan solo dan sejarah PRU15 membuktikan senario ini lebih banyak merugikan UMNO berbanding pesaingnya.
Tanpa penyatuan undi Melayu atau sokongan signifikan bukan Melayu, UMNO berisiko mengulangi atau memperburuk prestasi PRU15.

REALPOLITIK YANG TIDAK POPULAR
PAU kali ini juga menyerlahkan dilema besar UMNO dalam memilih rakan gabungan. Kekal bersama PH memberi kestabilan kerajaan dan akses kepada kuasa pentadbiran tetapi pada masa sama menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong tradisional yang melihat UMNO semakin sukar membezakan dirinya daripada rakan gabungan.
Sebaliknya, idea untuk mendekati PN, walaupun tidak dizahirkan secara terbuka, terus berlegar dalam wacana politik.
Dari sudut matematik politik, penyatuan undi Melayu berpotensi meningkatkan peluang kemenangan. Namun, realitinya Pas kini merupakan kuasa dominan dalam PN, dan sebarang penyertaan UMNO berisiko meletakkan parti itu sebagai rakan junior, sekali gus menjejaskan agenda jangka panjang UMNO sebagai parti pentadbiran nasional.
Pilihan yang ada untuk UMNO bukanlah ideal tetapi inilah realpolitik yang perlu dihadapi oleh parti yang sedang berusaha bangkit daripada kekalahan berlapis.
Dengan PRU16 dijangka berlangsung pada 2027, masa semakin suntuk untuk UMNO membuat keputusan strategik yang rasional. Berdasarkan prestasi PRU15, keputusan PRN lalu dan sentimen semasa akar umbi, bertanding solo dalam PRU terdekat bukanlah pilihan realistik. Ia mungkin memuaskan emosi tetapi berisiko menghancurkan baki kekuatan yang masih ada.
Apa yang patut dilakukan UMNO ialah menerima hakikat bahawa tempoh kurang dua tahun ini perlu digunakan untuk membina semula parti dari dalam.
UMNO perlu kekal dalam gabungan sedia ada tetapi pada masa sama berani memperkukuh identiti sendiri, menguasai naratif Melayu sederhana, melatih kepimpinan baharu dan memulihkan keyakinan pengundi muda.
Bertanding solo wajar dijadikan matlamat jangka sederhana hingga panjang, bukan keputusan tergesa-gesa menjelang PRU16. Dalam politik, maruah sebenar bukan sekadar berdiri sendirian tetapi keupayaan untuk menang, mentadbir dan membawa perubahan.
Jika UMNO mahu kembali relevan sebagai parti teras negara, maka pilihan yang paling rasional hari ini ialah menang dahulu, perkuatkan parti dan hanya selepas itu berbicara tentang kembali bersendirian.
PRU16 bukan medan nostalgia tetapi ujian survival politik UMNO dalam era baharu.-UTUSAN
PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










