Real kembali bertemu Benfica

Real kembali bertemu Benfica

Bekas pemain Perancis, Robert Pires memegang kad undi yang tertera nama Real Madrid dalam undian playoff Liga Juara-Juara 16 akhir, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEON, Switzerland: Real Madrid bakal berdepan ujian getir apabila sekali lagi diundi menentang Benfica dalam pusingan playoff kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, selepas tewas kepada kelab Portugal itu dalam perlawanan terakhir fasa liga, Rabu lalu.

Undian yang berlangsung kelmarin menyaksikan pasukan yang menghuni kedudukan kesembilan hingga ke-24 fasa liga dipertemukan dalam aksi dua perlawanan timbal balik yang dijadualkan antara 17 hingga 25 Februari depan.

Pemenang akan melengkapkan senarai 16 pasukan terbaik, menyertai lapan pasukan teratas yang sudah layak awal.

Real Madrid menamatkan fasa liga di tangga kesembilan selepas tewas 2-4 kepada Benfica, dengan penjaga gol Anatoliy Trubin muncul wira luar biasa apabila menjaringkan gol pada minit ke-98.

Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian Alvaro Arbeloa satu mata di belakang Manchester City yang mengisi slot kelapan.

Juara bertahan Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) pula bakal berdepan pertembungan sesama wakil Ligue 1 menentang Monaco.

PSG menamatkan saingan di tempat ke-11 selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir fasa liga, manakala Monaco berada di kedudukan ke-21.

Dalam undian lain, Newcastle United akan menentang Qarabag dari Azerbaijan, manakala Atletico Madrid yang terlepas kelompok lapan teratas dengan perbezaan tiga mata diundi bertemu Club Brugge.

Borussia Dortmund dijadualkan menentang Atalanta selepas kedua-dua pasukan gagal mengekalkan konsistensi akibat kekalahan berturut-turut, sementara Bayer Leverkusen sekali lagi berdepan Olympiacos selepas tewas kepada juara Greece itu awal bulan ini.

Pendahulu Serie A, Inter Milan akan beraksi menentang wakil Norway, Bodo/Glimt, manakala Juventus diundi menentang kelab Turki, Galatasaray. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN