PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi bayangan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berpotensi berakhir dengan keputusan positif.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, petunjuk paling jelas ialah apabila CAS meluluskan penangguhan hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan ke atas tujuh pemain terbabit.
“Mereka memohon perintah penangguhan dan CAS meluluskannya, sekali gus memberi petunjuk ada harapan kepada Malaysia. Ini kali pertama sepanjang saya di AFC, tak pernah ada satu kes pun sebelum ini yang mendapat penangguhan,” katanya.
Menurut Windsor, keputusan CAS untuk benarkan penangguhan terhadap hukuman sesuatu kes bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh memandangkan CAS menetapkan had yang amat tinggi sebelum mengeluarkan sebarang keputusan
Dalam masa yang sama, Windsor turut mendedahkan sepanjang pengalamannya bersama AFC sejak 2015, semua kes sebelum ini yang dibawa ke CAS dan disertakan permohonan penangguhan berakhir dengan kegagalan.
“Dalam sejarah AFC, semua yang minta penangguhan kalah. Tak pernah dapat,” katanya.
Situasi itu, menurut Windsor, membuka ruang kepada kemungkinan keputusan akhir yang lebih seimbang buat kedua dua pihak (pemain danjuga FIFA).
“Daripada pengalaman kami di AFC, peluangnya (untuk menang) boleh dianggap 50 50 ketika ini. Sekarang FIFA masih belum membuat hujahan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Windsor mengingatkan perjuangan tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu masih belum berakhir sepenuhnya.
Ini kerana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih belum mengemukakan hujahan mereka dan CAS setakat ini hanya mendengar pembentangan daripada pihak pemain.
Sebelum ini, Windsor turut memberi jaminan FAM tidak akan digantung oleh FIFA susulan langkah pemulihan dalaman yang sedang diusahakan ketika ini.
Tanggal 26 Februari ini bakal menjadi detik penting buat FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya apabila CAS menetapkan Tarikh itu bagi pendengaran penuh kes membabitkan kes pemalsuan dokumen tujuh pemain berkenaan. – UTUSAN










