KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) memerlukan 20 jurulatih berkualiti bagi memperkukuh program pembangunan atlet negara yang kini berada di bawah Program Podium dan Pelapis, sejajar dengan sasaran melahirkan atlet bertaraf dunia secara berterusan.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, ketika ini seramai 21 atlet berada di bawah Program Podium dan penempatan jurulatih baharu itu akan dibuatkan berdasarkan disiplin acara yang ingin diberi tumpuan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel Glasgow.
Tambahnya, MA menerima permohonan 80 jurulatih dari dalam dan luar negara antaranya dari Jerman dan Finland yang menyatakan minat mereka untuk membimbing atlet kebangsaan dan pelantikan tersebut akan dilakukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
“Seramai 20 jurulatih akan disalurkan dalam Program Podium dan Pelapis. Kita sudah ada senarai beberapa jurulatih yang akan dipanggil. Kita akan bekerjasama dengan MSN untuk menemuduga semua jurulatih ini sebelum kita salurkan mereka mengikut program.
“Kita ada dua lapisan iaitu Podium dan Pelapis. MA sudah buka ruang di mana struktur olahraga, latihan dan kejurulatihan berlainan daripada tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Karim turut menegaskan jurulatih yang bakal dilantik perlu bersedia untuk menghadapi tekanan daripada badan induk tersebut memandangkan keputusan menjadi keutamaan MA.
“Sebelum jurulatih hadir ke temuduga, saya nak beritahu sekarang, tanggungjawab berat. Kita ada peguam yang sudah draf tanggungjawab kerana kita mahukan keputusan.
“Kita tidak mahu membazir duit kerajaan dan apabila kita mahukan keputusan kita perlu dapatkan jurulatih berkualiti untuk membimbing atlet dalam Program Podium,” katanya.
Ditanya mengenai status terkini ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil, Karim enggan mengulas lanjut mengenainya. – UTUSAN










