Manusia tonggak di sebalik teknologi

Manusia tonggak di sebalik teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILMU wajar dikongsi demi kesejahteraan bersama, bukan terkurung daripada akses masyarakat.

Sejak awal tamadun manusia, pengetahuan menjadi asas pembentukan masa hadapan yang lebih cerah. Sejarah juga merakamkan bagaimana pusat-pusat pengajian dan perpustakaan suatu ketika dahulu dibuka kepada semua, menjadi ruang bersama untuk belajar dan mencari maklumat.

Walau bagaimanapun, kita kini hidup pada zaman berbeza. Keadaan dunia hari ini lebih menuntut keuntungan ekonomi sekali gus menyukarkan keperluan pendidikan formal untuk diberikan secara percuma kepada setiap insan.

Namun begitu, semangat manusia untuk saling membina dan memperkaya satu sama lain tetap subur dalam jiwa.

Seiring kemajuan teknologi, lahir pelbagai wadah yang memungkinkan kita berganding bahu membentuk pusat ilmu bersama, dikongsi dan dimanfaatkan di peringkat global.

Antara contoh terbaik ialah Wikipedia, sebuah laman sesawang yang berfungsi sebagai ensiklopedia terbuka dan percuma untuk semua. Menariknya, kandungannya ditambah, disemak dan diselia oleh sukarelawan dalam kalangan orang awam, iaitu orang sama yang turut menerima manfaat daripadanya.

Sejak 15 Januari 2001, laman ini menjadi antara pilihan utama orang ramai untuk mencari maklumat di internet. Oleh itu, saya melihat sambutan ulang tahun ke-25 Wikipedia tahun ini bukan sebagai perayaan sia-sia sebaliknya sebagai tanda tekad kerjasama jitu manusia seluruh dunia dalam memartabatkan ilmu pengetahuan bagi manfaat bersama.

Yang diraikan bukanlah laman sesawang itu semata-mata tetapi insan-insan yang bersama-sama membina sebuah ekosistem bagi memudahkan warga dunia memperoleh ilmu maklumat.

Saya sendiri turut bangga mengakui turut tergolong dalam kalangan sukarelawan yang menyumbang kepada usaha ini.

Di bawah payung besar inisiatif projek pengetahuan bebas Wikimedia membolehkan Wikipedia berkembang seiring projek-projek lain yang digerakkan oleh komuniti global demi manfaat bersama.

Antaranya ialah Wikidata sebagai pangkalan data terbuka terbesar di dunia, serta Wikikamus yang memberi nilai besar kepada penutur bahasa minoriti dengan memperluas akses dan pemerkasaan bahasa.

Kesemuanya bergerak dengan begitu tertib serta tersebar ke seluruh dunia melalui seliaan Yayasan Wikimedia yang disokong badan-badan sekutunya di seluruh dunia.

Kini, projek-projek ini juga menjadi tulang belakang pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang bergantung kepada khazanah ilmu ini sebagai sumber maklumat untuk diberikan kepada orang ramai.
.
Baru-baru ini, saya dijemput oleh Wikimedia Jerman sebagai wakil gerakan Wikimedia di Malaysia ke program Makmal Masa Depan Wikimedia yang diadakan di Frankfurt, Jerman.

Program anjuran Wikimedia Jerman dengan kerjasama Yayasan Wikimedia ini menjadi ruang untuk perwakilan seluruh dunia duduk semeja membincangkan cabaran dan rancangan strategi masa hadapan. Tumpuannya ialah perihal menghadapi masa hadapan yang mencabar keandalan maklumat dan pengetahuan.

Seterusnya kami diberi taklimat oleh pakar-pakar dan ahli industri tentang peralihan trend berkaitan pencernaan maklumat sedunia. Kami turut berbincang dan merancang usaha membangunkan komuniti setempat dan sedunia secara mampan, agar mampu terus mengembangkan pusat pengetahuan ini.

Hal ini terutamanya penting dalam situasi semasa di mana kebergantungan kepada AI bukan sahaja menjadikan ramai malas mencari maklumat terperinci tetapi juga culas membantu orang lain.

Setiap kali menyertai persidangan dan acara antarabangsa sebegini, saya semakin menghargai nilai kemanusiaan gerakan ini, terutamanya apabila berpeluang bertemu insan-insan yang menjadi tonggak kepada pengetahuan bebas di seluruh dunia.

Kali ini, saya berkesempatan berjumpa dengan mereka yang bertanggungjawab membangunkan ekosistem ini sejak awal penubuhan Wikipedia. Antaranya ialah Florence, sukarelawan dari Perancis yang pada asalnya menyumbang di bawah nama samaran kerana tidak mahu mendedahkan identitinya kepada orang lain.

Beliau kemudiannya dipilih menjadi antara Pemegang Amanah Yayasan Wikimedia dan hasil usaha keras dan ketekunannya bersama rakan-rakannya yang lain sehingga membolehkan gerakan ini berkembang dengan jayanya sehingga ke hari ini.

Saya turut berkesempatan berbincang bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wikimedia, Bernadette Meehan, seorang yang saya sangat hormati kerana meskipun berpengalaman luas, namun tetap menghormati pandangan orang muda seperti saya.

Kata beliau, pelantar ini bersifat terangkum untuk membuka ruang dan peluang kepada pelbagai orang yang lazimnya kurang diwakili di peringkat dunia. Benar sekali, di sini kami belajar bekerjasama sebagai satu masyarakat antarabangsa merentas usia, sempadan dan bidang.

Sebagai contoh, seorang sukarelawan yang hadir, Daryna, merupakan pelarian dari Ukraine yang berpindah ke Poland selepas peperangan pada 2022. Sambil tekad mencari rezeki untuk diri sendiri, dia tidak lupa untuk menyumbang semula kepada warga dunia dalam bentuk menyebar pengetahuan.

Saya juga sempat berbincang dengan Ruby, sukarelawan dari Ghana yang bekerja keras memperkasakan golongan terpinggir dan kaum wanita di benua Afrika. Beliau turut mengasaskan gerakan Wanita Wiki Afrika yang giat menjalankan kempen dan acara antarabangsa.

Tidak ketinggalan juga sukarelawan belia selaku pelapis, pada saat kebanyakan orang muda kini malas menadah ilmu, apatah lagi menyumbang kepadanya. Curtis dan Ferdinando masing-masing kini mengepalai gerakan Wikimedia di Hong Kong dan Itali, meskipun kedua-duanya baru berumur 20 tahun.

 

 

 

SEBAHAGIAN sukarelawan Wikimedia di Makmal Masa Depan Wikimedia, pada 31 Januari, lalu.

TIADA TEKNOLOGI TANPA MANUSIA

Kisah-kisah ini serta banyak lagi mengingatkan kita tiada apa jua yang boleh mematahkan semangat manusia untuk membina diri masing-masing dalam menempuhi segala cabaran.

Dengan tekad inilah kita dapat membina satu pusat ilmu terbuka dan terbesar di alam maya selama 25 tahun, meskipun dicabar perkembangan teknologi dan sekatan capaian.

Walaupun ramai yang merasakan perkembangan teknologi seperti AI boleh menyebabkan manusia hilang kerelevanan, akhirnya manusia juga menjadi tonggak di belakang tabir teknologi.

Manusia tetap menjadi asas ilmu, tidak kira melalui cara ia disampaikan.

Semangat ini harus diangkat oleh seluruh dunia tidak kira melalui bidang dan pelantar apa jua.

Ini kerana kita bukan sahaja perlukan sikap ingin tahu tetapi lebih penting lagi sikap ingin beri.

Hanya dengan itu dapat kita pastikan masa hadapan yang benar-benar mampan dan sejahtera.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×