Laporan penuh kes Danish Irfan dua minggu

Laporan penuh kes Danish Irfan dua minggu

Danish Irfan Tamrin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan penuh mengenai isu pengguguran atlet pecut negara, Danish Irfan Tamrin daripada kuartet 4×100 meter (m) ke Sukan SEA 2025 akan diserahkan oleh jawatankuasa siasatan bebas dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusinya, Datuk Salim Parlan berkata, siasatan tersebut dijalankan atas arahan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Jawatankuasa Disiplin Olahraga Malaysia (MA).

“Ini merupakan jawatankuasa bebas dan tidak berada di bawah MA. Tugas kami hanyalah menyiasat, mengenal pasti dapatan serta mengemukakan cadangan berdasarkan keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan,” katanya.

Salim berkata, proses siasatan secara rasmi bermula pada 6 Januari lalu selepas saksi utama bersetuju memberikan kerjasama, sekali gus menyebabkan sedikit kelewatan pada peringkat awal.

“Secara keseluruhan, seramai 13 individu dipanggil bagi memberi keterangan termasuk mereka yang terlibat secara langsung dalam kes ini. Rakaman kenyataan terakhir telah selesai diambil pada 14 Januari lalu,” katanya.

Terdahulu, Danish mendakwa dia diarahkan menulis surat menarik diri daripada skuad 4×100 meter Sukan SEA atas alasan kecederaan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai ketelusan dan prosedur pemilihan atlet kebangsaan.

Tindakan tersebut dipercayai berlaku selepas Danish meraih perak dalam acara 100 m pada Kejohanan Sekolah ASEAN (ASG), selain mencatat masa 10.61 saat yang melayakkannya mewakili negara.

Dalam pada itu, Salim berkata, laporan akhir kini berada pada peringkat penulisan dan akan diserahkan kepada Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim sebelum dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×