Kurangkan amalan politiking, kembalikan tradisi ilmu universiti

Kurangkan amalan politiking, kembalikan tradisi ilmu universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA politiking dalam universiti sudah agak lama diperkatakan. Namun, hasil kajian antarabangsa menunjukkan fenomena ini semakin bersifat sistemik.

Ini apabila Indeks Kebebasan Akademik oleh Varieties of Democracy Institute melaporkan kemerosotan kebebasan akademik menjejaskan lebih 50 peratus populasi dunia, dengan penurunan ketara di banyak negara sejak sedekad lalu.

Tinjauan global Times Higher Education pula mendapati sekitar 70 peratus akademik merasakan kebebasan bersuara semakin terhad dan berlakunya penapisan kendiri dalam keputusan akademik.

Ironinya, secara normatif, universiti ialah institusi epistemik yang mempertahankan kebenaran dan membina insan.

John Henry Newman dalam The Idea of a University (1996) menekankan universiti sebagai komuniti intelektual yang bebas. Manakala tradisi Humboldt mengangkat kebebasan akademik sebagai prasyarat kemajuan ilmu.

Namun, selaras dengan kajian dinyatakan, dalam beberapa dekad kebelakangan ini, universiti semakin dipengaruhi budaya pengurusan prestasi dan reputasi yang hanya menekankan metrik, ranking dan keterlihatan.

Deem (1998) melalui kerangka New Managerialism serta Shore dan Wright (2015) dalam Governing by Numbers: Audit Culture, Rankings and the New World Order menunjukkan bagaimana budaya audit dan pengukuran prestasi mengubah orientasi universiti daripada pencarian kebenaran kepada pengurusan imej dan angka.

Politiking di universiti sering terzahir melalui politik legasi dengan kepimpinan bekerja untuk meninggalkan jejak sendiri. Dalam teori institusi, kecenderungan ini difahami sebagai usaha mengukuhkan legitimasi melalui proses imprinting seperti dihuraikan Marquis dan Tilcsik dalam Imprinting: Toward a Multilevel Theory (2013).

Implikasinya, program akademik, pusat penyelidikan atau jaringan komuniti yang terbukti berkesan mungkin dihentikan hanya kerana tidak dikaitkan dengan kepimpinan semasa.

Keadaan ini membawa pembaziran epistemik apabila hilangnya pengetahuan, pengalaman dan jaringan yang terbina. Padahal, proses pembangunan dan pembelajaran universiti memerlukan memori institusi yang kukuh.

Tanpa kesinambungan ini, universiti akan sentiasa memulakan semula kitaran perubahan tanpa kesan sebenar.

Dalam konteks pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menggariskan fasa Cetus, Pacu dan Tingkat, memerlukan universiti yang apolitikal dan benar-benar berautonomi untuk berfungsi sebagai ruang bagi pencetusan idea, pememacuan kecemerlangan dan komited terhadap peningkatan berterusan.

Universiti memerlukan kestabilan institusi tanpa terkesan oleh sebarang peralihan kepimpinan. Jika setiap kepimpinan baharu memulakan agenda dari kosong, sudah pastinya transformasi yang di hasratkan sukar dicapai.

Banyak masa dan tenaga akan digunakan untuk membina legasi baharu sedangkan RPTM itu sendiri jelas merupakan kesinambungan dari pelan pembangunan sebelumnya.

Lebih memburukkan keadaan, politiking dalaman turut mengukuhkan budaya mengampu yang merupakan kecurangan terhadap ilmu dan kebenaran.

Dalam sistem hierarki yang ketat, individu cenderung mengamalkan pematuhan strategik demi kelangsungan kerjaya.

Perbezaan pandangan dianggap berisiko. Mesyuarat akademik terutamanya Senat hanya menjadi ruang pengesahan (rubber stamping) hal-hal rutin, bukan lagi medan utama perdebatan intelektual menentukan agenda besar sebuah institusi ilmu, pembentuk peradaban negara. Akhirnya universiti kehilangan penentangan intelektual yang penting untuk menghasilkan inovasi, sebagaimana ditekankan Robert K. Merton dalam The Sociology of Science (1973) sebagai asas kemajuan ilmu.

 

PENGARUH POLITIK LUAR

Dimensi kedua politiking ialah kesan pengaruh politik luar melalui fenomena yang dijangka. Kajian tadbir urus universiti di Eropah juga menunjukkan sebahagian pemimpin universiti menyesuaikan keputusan strategik berdasarkan jangkaan pihak luar.

Secara keseluruhan, dapatan ini mengesahkan politiking menjadi struktur dalam banyak universiti moden, khususnya yang bergantung kepada dana awam, persaingan ranking global dan proses pelantikan kepimpinan yang berkait dengan pertimbangan politik.

Pengaruh politik luar ini bermula dengan pelantikan kepimpinan tertinggi universiti yang dilihat dipengaruhi campur tangan politik walaupun mungkin dinafikan. Akibatnya, apabila pelantikan dilihat berkait dengan pertimbangan politik, kepimpinan terpilih cenderung menyesuaikan tindakan lebih awal dengan jangkaan pihak melantik. Ini bukan asing kerana dalam banyak organisasi awam, kepimpinan tidak semestinya menunggu arahan formal untuk bertindak.

Di dalam urus tadbir universiti, fenomena ini tidak wajar berlaku kerana akan mempengaruhi keputusan-keputusan strategik, arah tuju penyelidikan, pelantikan pemegang jawatan malah juga kandungan kurikulum yang diajar.

Secara jangka pendek, pendekatan ini mungkin dilihat sebagai strategi yang pragmatik. Namun kesan jangka panjangnya akan menghakis autonomi institusi dan keberanian intelektual mahupun identiti sebuah universiti.

Universiti berisiko menjadi proksi kepada kepentingan luar, bukan lagi menjadi benteng kebenaran ilmu. Seterusnya, ini memberi kesan langsung kepada pelaksanaan setiap fasa dalam RPTM.

Bagi fasa Cetus, ia amat memerlukan kebebasan mencuba idea baharu dan fasa Pacu pula memerlukan keberanian membuat keputusan.

Fasa Tingkat pula memerlukan kesinambungan jangka panjang. Maka, jika universiti terlalu terikat dengan memenuhi jangkaan politik luar, maka ruang inovasi dan kesinambungan menjadi terhad.

Dalam persekitaran yang sarat dengan politiking dalaman dan tekanan dari luar menyebabkan pengalaman kepimpinan menjadi faktor penentu.

Pemimpin yang berpengalaman bukan sekadar mahir mengurus pentadbiran tetapi memahami dinamika kuasa, mampu membezakan antara kerjasama strategik dan kepatuhan berlebihan serta mengekalkan kesinambungan institusi merentas perubahan politik.

Hanya pemimpin berpengalaman boleh membaca konteks dengan lebih halus bila mereka patut bertindak tegas mempertahankan prinsip akademik dan bila perlu berunding secara strategik.

Pemimpin berpengalaman juga menghargai memori institusi dan mengekalkan inisiatif yang terbukti berkesan walaupun bukan lahir daripada era kepimpinannya. Ini penting bagi memastikan agenda transformasi pendidikan tinggi tidak terputus-putus.

Lebih penting, pengalaman yang ada akan membina keberanian institusional untuk membuat keputusan yang mungkin tidak popular dalam jangka pendek tetapi penting untuk integriti jangka panjang.

Tanpa pengalaman, kepimpinan cenderung mengambil pendekatan defensif untuk mengelakkan risiko, mematuhi jangkaan luar dan menumpukan hanya kepada pencapaian segera yang mudah diukur.

Universiti hanya akan kembali menjadi benteng ilmu apabila keberanian intelektual mengatasi politiking organisasi.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan Dan Dasar Pendidikan Tinggi (PenDaPaT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×