PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek melihat kelemahan sektor perseorangan sebagai titik paling kritikal yang boleh menentukan sejauh mana Malaysia mampu melangkah dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, April ini.
Menurutnya, walaupun kekuatan beregu negara berada pada tahap seimbang dan stabil, ketidakpastian dalam dua slot perseorangan utama menjadikan laluan Malaysia lebih rapuh berbanding kuasa besar lain yang memiliki sandaran lebih konsisten.
“Kalau kita nilai kemampuan semasa, bahagian perseorangan masih belum cukup kukuh untuk memberi keyakinan penuh. Beregu kita memang berada pada tahap baik tetapi dalam perseorangan masih ada ketidaktentuan.
“Dua pemain teratas perlu benar-benar tampil luar biasa kerana jika gagal menyumbang mata awal, kemungkinan besar kita tidak sempat pun menentukan perlawanan di aksi ketiga,” kata Razif kepada Utusan Malaysia.
Kenyataan itu memberi gambaran jelas bahawa format lima perlawanan berpasukan tidak memberi ruang kesilapan awal, khususnya jika Malaysia gagal mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam dua aksi perseorangan pertama.
Razif turut menegaskan keperluan mendapatkan satu mata daripada sektor tersebut bagi mengimbangi kelebihan beregu yang hampir pasti mempertaruhkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
“Dalam format berpasukan, sekurang-kurangnya satu mata daripada perseorangan sangat penting untuk menampung kekuatan beregu.
“Peluang itu tetap ada kerana kejohanan berpasukan selalunya penuh dengan kejutan, tetapi realitinya cabaran kali ini memang berat dan semua pemain perlu berada pada prestasi paling tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan kehadiran pemain profesional, Lee Zii Jia, sebagai perseorangan ketiga mampu mengubah dimensi taktikal dan psikologi pasukan jika menerima panggilan menyertai skuad.
“Jika Zii Jia bersama pasukan, impaknya besar bukan sahaja dari sudut permainan malah tekanan kepada lawan juga berbeza.
“Namun kita juga perlu realistik kerana ada perlawanan yang mungkin tidak sampai ke aksi perseorangan ketiga, jadi tanggungjawab utama tetap terletak kepada dua perseorangan terawal,” katanya.
Dengan tekanan kini terarah kepada Leong Jun Hao dan Justin Hoh untuk mengatasi jangkaan serta membawa kestabilan yang selama ini menjadi persoalan, realiti Piala Thomas 2026 memperlihatkan bahawa kekuatan beregu semata-mata tidak lagi memadai tanpa sandaran perseorangan yang benar-benar kompetitif di pentas tertinggi. – UTUSAN










