ISU penggunaan kalimah yang sinonim dengan umat Islam dalam ruang rasmi negara bukan perkara kecil yang boleh dipandang enteng atau disapu di bawah karpet politik. Itu tegas, DATUK SITI ZAILAH MOHD. YUSOFF.
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA, ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata, apabila seorang menteri Kabinet memilih untuk menggunakan kalimah yang sarat dengan makna akidah Islam dalam persidangan Dewan Rakyat, maka persoalan yang timbul bukan sekadar soal bahasa atau retorik tetapi kefahaman, keikhlasan dan batas yang wajar dihormati dalam sebuah negara majmuk.
Ini kerana setiap tuturnya membawa implikasi besar terhadap sensitiviti rakyat, khususnya umat Islam yang melihat kalimah tertentu sebagai lafaz ibadah, bukannya hiasan politik atau perkara yang boleh dipermainkan.
Justeru, tindakan menggunakan kalimah yang berkait rapat dengan konsep ketuhanan Islam oleh individu bukan Muslim menimbulkan kegusaran sama ada ia lahir daripada kefahaman sebenar atau sekadar strategi komunikasi untuk meraih simpati dan sokongan orang Melayu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam konteks ini, persoalan sebenar bukan siapa yang lebih lantang atau popular tetapi sejauh mana prinsip, adab dan sempadan agama dihormati dalam amalan politik negara.
————————————
UTUSAN : Sejak kelmarin, banyak komen di media sosial berhubung kritikan berani Datuk terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam persidangan Dewan Rakyat yang menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam. Bagaimana terdetik untuk menegur tindakan menteri itu?
SITI ZAILAH : Saya sebenarnya sudah lama mendapat maklumat daripada rakan-rakan Cina, mereka menghantar teks mengenai program yang dihadiri individu ini bersama rakan-rakannya dalam program bersama kaum Cina, di mana terdapat ucapan-ucapan yang berbentuk Islamophobia.
Beliau menyebut hal-hal seperti Pas sebagai Taliban dan mengatakan Pas merosakkan kaum Cina. Namun, ia diucapkan dalam bahasa Cina. Kita pun ramai kawan Cina yang memaklumkan hal ini.
Jadi, apabila dalam Dewan, beliau menggunakan kalimah seperti Alhamdulillah, kita perlu faham yang penggunaan kalimah itu tidak selari dengan pegangan agamanya kerana dia beragama Kristian dengan konsep Triniti, yang berbeza daripada konsep Tuhan Yang Esa dalam Islam.
Adakah satu kesalahan bagi mereka bukan beragama Islam untuk menyebut kalimah yang sinonim dengan Islam?
Apabila menyebut Alhamdulillah, ia membawa maksud syukur kepada Allah yang Maha Esa dan ia sepatutnya merujuk kepada Tuhan Yang Satu. Sebaliknya, penganut Kristian percaya kepada Triniti (Tuhan, Isa dan Maryam). Jadi, setiap kali menggunakan kalimah itu, seolah-olah beliau cuba mempermainkan agama Islam. Terutamanya apabila menyebut “sujud syukur,” yang tiada dalam ibadat Kristian. Saya nampak ini sebagai satu bentuk penyalahgunaan kalimah Islam.
Sebab itu, saya bertanya secara langsung, “Adakah awak Muslim? Adakah awak beriman?” Saya tahu pegangan dia lain, jadi saya tegur supaya tidak menjadi satu preseden di Dewan, di mana orang boleh sesuka hati mempergunakan kalimah Islam. Ini berkaitan dengan akidah dan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Orang bukan Islam tidak boleh mempermainkan agama lain.
Bagaimana reaksi ahli-ahli Parlimen dan rakyat ?
Ada yang komen, termasuk ahli politik lain. Saya tidak kisah dengan komen mereka, sebab saya tegur hanya untuk menjaga perkara berkaitan akidah.
Kebanyakan ahli Parlimen faham dan menyokong saya. Ada juga ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) bangun dan ucapkan semoga dia mendapat hidayah. Saya jawab, jika dia ikhlas, saya jemput dia dan kawan-kawannya masuk Islam. Saya hanya menekankan keikhlasan dan niat sebenar.
Sebelum ini, kami pernah temu bual beliau dan bertanyakan hal ini. Jawapan beliau kerana membesar dalam persekitaran bangsa Melayu di Kelantan. Mungkin kerana ini, beliau fasih menggunakan kalimah-kalimah Islam. Komen.
Jika benar-benar membesar dalam Islam, sepatutnya beliau tidak memiliki sifat Islamophobia. Sebelum ini, dia pernah kata Pas seperti Taliban atau menyebut Pas sesat.
Sedangkan di Kelantan, bangsa lain termasuk Cina tidak ada seorang pun yang dizalimi. Malah, tempat ibadat Cina diperbesar, patung dibuat besar-besar. Jadi jika dia benar-benar menghayati keadaan sebenar, tidak wujud isu zalim terhadap orang Cina. Namun, dalam ucapan kepada komuniti Cina, dia menggunakan istilah Islamophobia. Sebab itu saya rasa teguran itu perlu.
Adakah kita boleh melihat tindakan beliau sebagai strategi politik?
Ya, saya percaya ini strategi politik. Dia cuba tarik perhatian dan sokongan orang Melayu, sama seperti strategi yang digunakan oleh bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Kuan Yew turun ke kampung, pergi masjid, buka puasa dengan masyarakat Melayu semata-mata untuk tawan pengaruh Melayu dan akhirnya berjaya menawan Singapura.
Saya nampak taktik yang sama digunakan sekarang, seolah-olah meredakan ketegangan isu tetapi sebenarnya untuk tarik sokongan politik. –UTUSAN










