Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA berpeluang menyertai program di luar negara, pengalaman yang diraih sebenarnya jauh melangkaui jadual rasmi yang telah disusun. Di celah-celah atur cara, kita berpeluang menyelami suasana kehidupan masyarakat setempat, menikmati keindahan mercu tanda serta memerhati budaya dan cara hidup yang mungkin berbeza daripada kebiasaan.

Setiap langkah dan pertemuan membuka ruang untuk memahami dunia dari sudut pandang yang lebih luas dan manusiawi.

Benarlah kata peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung, di mana dapat sagunya. Peluang seperti ini tidak datang selalu dan tidak semua ilmu dapat digarap di dalam dewan kuliah semata-mata.

Justeru, setiap kesempatan ke luar negara wajar dimanfaatkan sepenuh hati agar menjadi bekal berharga dalam perjalanan hidup dan pembelajaran sepanjang hayat.

Baru-baru ini ketika menghadiri Makmal Masa Depan Wikimedia di Frankfurt, Jerman, peserta program bukan sahaja dijemput untuk mendengar taklimat dan berbincang tetapi juga dipelawa untuk membantu pihak penganjur sepanjang program.

Setelah tamat atur cara pada hari kedua sambil menunggu makan malam, saya berpeluang menolong pihak penganjur mencerna data maklum balas peserta untuk kegunaan hari berikutnya.

Ketelitian dan kecekapan mereka menganalisa maklumat begitu mengagumkan. Banyak yang saya pelajari daripada kerja-kerja mereka.

Tidak pernah menyangka akan di jemput menyertai program di Frankfurt, namun saya bersyukur mendapat peluang ini.

Segala gerak kerja dijalankan dalam satu kumpulan merentas bidang dan umur. Tiada pengisihan mengikut usia dan pangkat kerana setiap penyumbang dianggap sama. Meskipun saya masih pelajar dan kurang berpengalaman berbanding mereka, namun pendapat saya diambil berat sebagaimana ahli lain.

Begitulah juga keadaannya apabila saya disapa Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wikimedia, Bernadette Meehan, yang bergaul seolah-olah beliau juga sukarelawan biasa sahaja.

Tiada protokol mahupun keangkuhan, malah sepanjang masa beliau memberi tumpuan kepada mendengar pendapat dan pandangan daripada sukarelawan yang hadir.

Perkara begini mungkin sangat janggal bagi budaya kita di Malaysia yang mementingkan hierarki. Pada masa sama inilah yang membolehkan kita bergerak ke hadapan dengan lebih baik kerana tidak sombong dengan pangkat dan gelaran.

Inilah antara perkara yang saya suka perhatikan ketika mengikuti majlis dan persidangan antarabangsa, terutamanya apabila di luar negara.

Budaya kerja di sini dan di luar begitu jauh berbeza. Inilah antara perkara yang boleh memberi kesan kepada keberkesanan gerakan kita.

 

 

BELAJAR BERSYUKUR

Antara perkara lain yang saya suka perhatikan ialah prasarana dan persekitaran sekeliling di negara luar. Walaupun tanggapan kita ialah negara seperti Jerman lebih maju berbanding Malaysia, namun perjalanan ke negara itu menyedarkan saya yang kecanggihan prasarana awam di bumi Malaysia, walaupun segilintir rakyat tempatan masih memperlekehkannya.

Contohnya, sebagai pengguna pengangkutan awam, saya bersyukur dapat menikmati sistem pengangkutan awam dalam negara yang baik berbanding banyak negara maju.

Setelah ke Sweden, United Kingdom (UK), Poland, Republik Czech dan Frankfurt, jelas sekali sistem pengangkutan landasan kita lebih baik meskipun terdapat beberapa kekurangan.

Selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt, saya perlu mengambil kereta api ke pusat bandar Frankfurt. Walau bagaimanapun, apabila tiba di platform kereta api, saya terpaksa menunggu kira-kira 45 minit kerana sistem pengangkutan mereka tergendala.

Apabila berjumpa dengan orang daripada Wikimedia Jerman, barulah saya tahu perkara itu bukan sahaja biasa berlaku, malah sepatutnya boleh dijangka.

Ketika itu saya terbayang perkhidmatan KLIA Ekspres yang cekap menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. Tidak pernah terlintas di fikiran saya hal seperti ini berlaku di sebuah negara maju seperti di Jerman. Bayangkan pula jika keadaan serupa berlaku di Malaysia.

Ketika perkhidmatan Aerotrain tergendala beberapa kali setelah dibaiki, kecoh warga maya mengecam pihak pengurusan, sampai ada yang mendesak Menteri Pengangkutan untuk meletakkan jawatan.

Tetapi apabila beberapa eskalator di lapangan terbang keenam tersibuk di Eropah tidak berfungsi, tidak pula orang tempatan di sana ambil kisah. Mereka memahami kemudahan kadangkala tergendala. Saya yang kehairanan kerana perlu mengangkat bagasi menaiki dan menuruni tangga walhal berada di negara yang maju.

Meskipun begitu, kejadian-kejadian tersebut tidak merosakkan pengalaman saya di sana secara umumnya. Oleh kerana bandar tersebut juga merupakan sebuah bandar bersejarah, setiap hari ketika berjalan ke tempat program, kami melalui beberapa tapak bersejarah.

Paduan seni binaan lama dan pencakar langit moden menjadikan kota raya ini begitu indah dan istimewa. Kerajaan Jerman giat membaik pulih bangunan-bangunan lama serta membina semula bangunan yang rosak teruk atau musnah dalam Perang Dunia kedua bagi mengekalkan identitinya.

Pemeliharaan warisan sebegini diberi perhatian khusus di seluruh Eropah. Ketika saya berada di kota bersejarah Kraków, Poland pada 2024 dahulu, banyak kawasan kota raya itu ditutup kerana kerja baik pulih bangunan lama sedang dilakukan secara besar-besaran.

Ruginya apabila banyak bangunan lama yang indah seni binanya di negara kita diroboh semata-mata untuk membina bangunan moden. Akibatnya, kita kehilangan nilai sejarah berharga semata-mata kerana mengejar nilai ekonomi tanah berkenaan.

Meskipun lawatan saya ke Frankfurt baru-baru ini begitu padat, namun apabila mengimbau semula perjalanan itu, banyak juga perkara baharu yang pelajari.

Walaupun lebih baik hujan batu di negeri sendiri berbanding hujan emas di negeri orang, tidak salah untuk kita ambil pengajaran daripada mana-mana sikap mereka yang baik dan boleh diguna pakai di sini.

Pada masa sama, hakikat Malaysia dikategorikan sebagai negara membangun bukanlah alasan untuk melihat segala-galanya dari sudut negatif atau terus-menerus merungut.

Setiap negara mempunyai cabaran dan kekuatannya yang tersendiri. Kita wajar bersyukur kerana banyak nikmat yang kita kecapi hari ini, daripada keharmonian masyarakat hingga kemudahan asas kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah ditemui di tempat lain, malah ada antaranya tidak dinikmati sepenuhnya walaupun di negara maju.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×