Di mana skuad Piala Thomas?

Di mana skuad Piala Thomas?

Razif Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek menasihati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar tidak membuat pemilihan pemain pada saat akhir menjelang Piala Thomas 2026, sambil menegaskan kepentingan persiapan awal dan pemilihan barisan terbaik tanpa kompromi.

Katanya, prestasi Malaysia pada Kejohanan Berpasukan Asia baru-baru ini belum dapat dijadikan ukuran sebenar kekuatan pasukan negara berikutan ketiadaan sasaran jelas serta barisan pemain yang tidak mencerminkan skuad terbaik.

“Kalau kita tengok barisan yang diturunkan, macam tak ada sasaran jelas. Campuran pemain senior dan junior ini menyebabkan kita sukar menilai tahap sebenar kekuatan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Razif menjelaskan, berbeza dengan beberapa pasukan lain seperti Korea Selatan yang menurunkan skuad penuh, Malaysia seolah-olah sekadar menyertai kejohanan itu untuk pendedahan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan sebenar menjelang Piala Thomas.

Sehubungan itu, beliau menegaskan BAM perlu meletakkan pemain terbaik negara tanpa mengira latar belakang, sama ada dari akademi BAM atau pemain profesional, demi memastikan Malaysia tampil kompetitif dalam kejohanan berprestij itu.

“Untuk Piala Thomas dan Piala Uber, tak kira dari mana pemain itu datang, yang penting mereka adalah yang terbaik di Malaysia,” ujarnya.

Mengulas kedudukan pasukan, Razif mengingatkan bahawa walaupun Malaysia sudah layak ke Piala Thomas, faktor seeding masih belum jelas dan ia memerlukan perancangan rapi sejak awal.

Dalam masa sama, beliau mengakui kekuatan beregu negara berada pada tahap baik dan seimbang, namun mengakui bahagian perseorangan perlu diberi perhatian serius kerana masih belum cukup mantap untuk menghadapi tekanan kejohanan berpasukan.

“Beregu kita nampak lebih stabil, tetapi perseorangan perlu diperkemaskan. Dalam Piala Thomas, satu mata pun boleh menentukan nasib pasukan,” katanya.

Razif turut menekankan kepentingan semangat berpasukan dan keserasian, sambil menggesa agar senarai pemain dikenal pasti lebih awal bagi mengelakkan kekeliruan dan tekanan menjelang kejohanan.

“Ini acara berpasukan. Kalau keputusan dibuat saat akhir, ia boleh menjejaskan persiapan dan mental pemain,” katanya.

Pada edisi lepas, skuad negara terpaksa berputih mata apabila tewas kepada China pada peringkat separuh akhir dengan keputusan 1-3. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN