KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menunggu kata putus daripada perseorangan lelaki, Lee Zii Jia serta beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjelang kem latihan berpusat di Denmark sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas pada 24 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, badan induk itu sudah menghulurkan jemputan rasmi kepada Zii Jia, Aidil Sholeh Ali Sadikin serta Sze Fei-Izzuddin untuk menyertai kem latihan selama 10 hari selepas Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 berakhir pada 12 April ini.
Perancangan itu dilakukan bagi persiapan untuk menamatkan kemarau 34 tahun Malaysia bagi kejohanan berprestij itu yang menyaksikan BAM menetapkan sasaran juara.
“Setakat ini kita menjemput pemain profesional masuk BAM training satu minggu sebanyak tiga kali. Namun untuk Piala Thomas mereka belum beri keputusan.
“Kami harap mereka membalas dengan cepat dan pada bila- bila masa mereka boleh latih bersama sebab aura kejohanan individu dan berpasukan tidak sama,” kata Chong Wei.
Chong Wei berkata demikian selepas majlis lawatan penaung BAM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.
Ketika ditanya mengapa membuat kem latihan 10 hari sebelum Piala Thomas yang berlangsung di Horsens itu, Chong Wei berkata, barisan pasukan harus menyesuaikan keadaan cuaca, gelanggang dan keletihan menuju ke venue.
“Kita pergi awal sebab jet lag, tempat dan cuaca. Saya rasa pergi sana 10 hari sangat bagus untuk mengekalkan fokus. Tiada gangguan berbanding di Kuala Lumpur,” katanya.
Ketika mengulas mengenai perkembangan kecederaan yang dilalui Zii Jia pada aksi suku akhir Thailand Masters bulan lalu, Chong Wei mendedahkan beliau tidak tahu status kecederaannya adalah serius.
“Saya memang tidak ada berita mengenai kecederaannya selepas Thailand Masters sama ada serius ataupun tidak. Mungkin dia lebih tahu. Saya tahu BAM hanya menyusulnya di email.
“Kami hantar email dan jemput dia (Zii Jia) dan saya rasa BAM akan email lagi menunggu jawapan beliau untuk Piala Thomas,” katanya. – UTUSAN










