Azizulhasni uji diri sebelum Sukan Asia

Azizulhasni uji diri sebelum Sukan Asia

Azizulhasni Awang dijangka membuat kemunculan semula dengan menyertai beberapa kejohanan utama di pentas antarabangsa. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun semakin dimamah usia, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus menjadi nadi utama kem kebangsaan dalam mengharungi jadual kejohanan yang padat musim ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, bekas juara dunia keirin itu dijangka membuat kemunculan semula secara besar-besaran dengan menyertai beberapa kejohanan utama di pentas antarabangsa.

Menurutnya, penyertaan tersebut penting bagi membolehkan Azizulhasni menyesuaikan diri dengan intensiti perlumbaan kompetitif sebagai persiapan menghadapi sasaran utama musim ini iaitu Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober.

“Saya rasa Azizulhasni akan mengambil bahagian di Piala Dunia Trek di Perth pada 6 hingga 8 Mac ini. Selepas itu, beliau dijangka beraksi di Kejohanan Asia pada 25 hingga 31 Mac di Filipina.

“Seterusnya, pada 24 hingga 26 April adalah pusingan akhir Piala Dunia Trek di Nilai kerana sasaran utamanya adalah Sukan Asia. Berkemungkinan juga beliau akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia di China,” kata Amarjit.

Bagaimanapun, ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri menegaskan slot ke Sukan Asia bagi acara keirin dan pecut masih terbuka dan tidak dikhususkan kepada Azizulhasni semata-mata meskipun statusnya sebagai legenda berbasikal trek negara.

Menurut Harnizam, pemilihan pelumba akan dibuat secara adil berdasarkan prestasi semasa kerana saingan dalam kalangan pelumba elit negara kini semakin sengit.

“Pemilihan adalah berdasarkan prestasi semasa. Siapa yang terbaik, dialah yang akan dihantar. Tiada istilah dua slot itu sudah tetap menjadi milik sesiapa.

“Kita mempunyai ramai pelumba elit, namun kuota penyertaan hanya dua slot bagi setiap kejohanan utama. Jika dahulu dalam saingan Piala Dunia atau Piala Negara-negara kita boleh menghantar beberapa pasukan seperti Team Azizul dan Team Sime Darby, kini hanya Pasukan Kebangsaan sahaja dibenarkan.

“Justeru, persaingan menjadi lebih sengit dan proses pemilihan perlu dilakukan secara adil demi memberi peluang kepada semua pelumba yang layak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN