Armin mampu pergi lebih jauh - Karim

Armin mampu pergi lebih jauh – Karim

Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) optimis pelari 110 meter (m) berpagar, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif mampu menghadiahkan pingat emas pada Sukan SEA 2027.

Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, kejayaan Armin memecahkan rekod 60m berpagar kebangsaan menjadi petanda bahawa atlet berusia 21 tahun itu mampu mencipta kejutan pada masa akan hadapan.

Armin melakukan larian dengan catatan masa 7.88 saat (s) dalam Kejohanan Dalam Dewan Asia di Tianjin, China, kelmarin sekali gus melebur rekod kebangsaan berusia 20 tahun, 7.91s yang dicipta oleh Faiz Mohamad pada edisi 2006 di Pattaya, Thailand.

“Tahniah kepada Armin di atas pencapaian tersebut. Kita akan tengok macam mana nak bagi insentif kepada dia dan pada masa sama saya ada beritahu kepada penaja di China untuk memberi tajaan maksimum kepadanya.

“Pencapaian dia amat membanggakan. Dia ada dua tahun lagi (Sukan SEA 2027) untuk dapatkan emas bagi acara 110m. Saya yakin dia boleh buat kejutan,” katanya.

Seorang lagi atlet negara, Andre Anura Anuar terpaksa berpuas hati dengan lompatan 15.15m dalam acara lompat kijang.

Karim turut berkata, badan induk tersebut perlu melihat semula program latihan Armin kerana pihaknya mempunyai perancangan untuk atlet dari Terengganu itu.

“Saya kena tengok dia dan jurulatih perlu ditetapkan di satu tempat. Kalau jurulatih di Kuala Lumpur tapi dia dia Terengganu, ini satu masalah.

“Kita akan menghantar dia menyertai lebih banyak pertandingan di luar negara sebagai pendedahan kepada Armin,” katanya.

Sebagai rekod, Armin meraih gangsa dalam acara 110m berpagar di Sukan SEA Thailand, Disember lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×