Apabila skala teknologi mengatasi pertimbangan

Apabila skala teknologi mengatasi pertimbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA akhir tahun lalu, aturan digital dunia khususnya kecerdasan buatan (AI) terbahagi kepada dua aliran penggunaan dan pilihan teknologi.

Di sebelah pihak berdirinya model-model sistem berasaskan awan berskala besar serta kecanggihan teknikal seperti GPT-5, Gemini dan Grok.

Di satu pihak lagi muncul suatu arus yang lebih berhati-hati dengan AI dijalankan secara tempatan pada peranti peribadi (locally-run AI) menggunakan pemproses neural, didorong kebimbangan terhadap tergugatnya kedaulatan, pencerobohan data dan sekatan rangkaian.

Pada hari ini, kos setiap prompt kecerdasan buatan (AI) tidak lagi boleh difahami semata-mata sebagai perbelanjaan kewangan.

Di sebalik satu soalan yang ditaip dan satu jawapan yang diterima, tersembunyi penggunaan tenaga elektrik dalam jumlah yang besar, keperluan kawasan tanah untuk pusat pemprosesan data, penggunaan air bagi tujuan penyejukan serta pelepasan karbon yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Hakikatnya, tindakan yang kelihatan remeh seperti ‘bertanya soalan’ kepada AI membawa kesan yang boleh diukur terhadap grid kuasa elektrik, sistem penyejukan dan bekalan air.

Pada skala individu, kos ini tampak kecil dan hampir tidak dirasai. Namun apabila penggunaan ini berlaku secara berterusan dan besar-besaran menyebabkan kesannya terkumpul menjadi beban nyata dan berpanjangan terhadap alam dan sistem sokongan kehidupan manusia.

Peningkatan penggunaan model AI berasaskan awan turut memberikan tekanan kepada pasaran perkakasan global. Permintaan tinggi terhadap cip memori dan pemprosesan berprestasi tinggi berpotensi mendorong kenaikan harga komponen seperti cip RAM, sekali gus meningkatkan kos komputer peribadi yang akhirnya ditanggung oleh pengguna biasa.

Beban ini tidak terhad kepada sektor teknologi tetapi meresap ke dalam kehidupan seharian masyarakat.

Keadaan ini mendedahkan lebih daripada sekadar isu teknikal atau operasi. Ia mencerminkan kecenderungan falsafah yang lebih mendalam, iaitu usaha menampung keterbatasan kefahaman dan ketepatan konsep melalui peluasan daya pengiraan secara kasar.

Masalah yang sepatutnya ditangani melalui pemilihan, penilaian dan pengehadan sering digantikan dengan pendekatan skala melibatkan lebih data, kuasa pengiraan dan infrastruktur.

Walaupun AI sering dipersembahkan sebagai sesuatu yang abstrak dan sejagat, namun implikasinya amat bersifat fizikal dan setempat. Beban pada grid kuasa, tekanan terhadap sumber air serta tuntutan ke atas alam sekitar akhirnya dipindahkan kepada masyarakat yang diminta menukar kestabilan ekologi dengan janji manfaat ekonomi yang sering kabur dan tidak seimbang.

Kos kecerdasan ini menjadi halimunan di mata pengguna akhir, namun tetap ditanggung oleh bumi.

Dalam pengertian yang lebih mendasar, kecerdasan tidak terletak pada penggunaan kemampuan secara maksimum tetapi pada kebolehan memilih cara dan skala penggunaan yang paling sesuai dengan tujuan. Prinsip ini membawa implikasi moral yang khusus, khususnya bagi umat Islam.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Quran, khususnya melalui Surah al-Baqarah, ayat 30 dan Surah Hud, ayat 61, kehadiran manusia di muka bumi terikat dengan dua amanah yang saling melengkapi iaitu menjaga dan memakmurkan.

Manusia diangkat sebagai penjaga bumi yang akan dipersoalkan tentang keadaannya dan pada masa sama diperintahkan untuk membangun serta memakmurkan melalui kerja yang berhala tuju dan memberi manfaat.

Yang dikecam ialah kerosakan yang lahir daripada sikap melampaui batas, kecuaian dan salah guna kuasa.

Prinsip ini menetapkan piawaian adab dan disiplin. Bumi ialah amanah yang mesti diusahakan secara berhemat dengan penguasaan terhadap sumber sentiasa bersyarat dan pembangunan tidak pernah terpisah daripada tanggungjawab.

Seiring dengan itu, kuasa teknologi perlu dilaksanakan dengan cara yang memelihara keseimbangan, menghasilkan manfaat nyata serta mengelakkan mudarat dipindahkan kepada pihak lain.

AI, dalam kerangka ini, ialah suatu keupayaan yang unggul dari segi kelajuan, pengenalpastian corak dan penukaran input kepada output. Namun sifat asasnya tidak memiliki pertimbangan.

Sistem AI dibina melalui pemilihan data, penetapan tujuan dan pengenaan kekangan. Pendekatan yang mengutamakan skala tanpa diskriminasi bermakna menggunakan kuasa tanpa kebijaksanaan, manakala pendekatan yang menekankan pemilihan teliti dan kesesuaian konteks menghasilkan kecukupan.

 

KECERDASAN buatan (AI) yang digunakan tanpa kawalan boleh membebankan bumi, walaupun nampak remeh. -IMEJ JANAAN AI

UTAMAKAN AI TEMPATAN

Atas asas inilah AI yang dikendalikan secara tempatan menjadi semakin wajar untuk dipertimbangkan. Pengoperasian model secara tempatan mampu menjamin keselamatan dan mengurangkan risiko pencerobohan.

Data tidak mengalir ke pelayan luaran, tidak diserap ke dalam saluran latihan yang legap dan sistem kekal stabil tanpa terikat kepada perubahan insentif yang berada di luar kawalan pengguna.

Lebih penting, AI tempatan selari dengan keperluan sebenar. Sebahagian besar kerja intelektual harian seperti penyuntingan, penterjemahan, anotasi dan penaakulan berstruktur tidak memerlukan daya pengiraan berskala planet.

Menggunakan model besar untuk tugasan sedemikian ibarat menggunakan jentera perindustrian berat bagi kerja artisan. Ia mungkin mengagumkan tetapi tidak sepadan. Justeru, menggunakan kuasa secara bijaksana ialah satu bentuk tanggungjawab moral bagi setiap pengguna yang cakna terhadap kos alam sekitar teknologi.

Pilihan yang dihadapi masyarakat hari ini bukanlah antara pembaharuan dan pemunduran, tetapi antara jangkauan yang berlebihan dengan penggunaan yang berpadanan.

Masa hadapan AI tidak semestinya berbentuk entiti seakan-akan dewa yang disertai kerosakan bumi, sebaliknya berkembang sebagai alat yang berdisiplin, terhad melalui reka bentuk, dipandu oleh pemilihan yang berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap tujuan manusia, selari dengan maqasid syariah yang sepatutnya dilayani dan dipelihara.-UTUSAN

 

DR. Muhammad Husni Mohd. Amin ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN