PETALING JAYA: Kuala Lumpur (KL) City dijangka tidak berdepan masalah untuk menjinakkan wakil Liga A1 Semi Pro, Perak FA menjelang aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.
Atas kertas, segala kelebihan dilihat memihak kepada skuad kendalian Risto Vidakovic, namun sebarang kesilapan percaturan atau kemerosotan prestasi pemain KL City berpotensi membuka ruang buat Perak FA mencipta kejutan
Tonggak KL City, Safawi Rasid menuntut tahap fokus dan komitmen tertinggi daripada semua pemain bagi memastikan sasaran untuk melangkah jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini dapat direalisasikan.
“Bagi saingan Piala Malaysia, kami akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Semua pemain fokus, bersedia dan komited untuk kempen kali ini. KL City turun dengan satu sasaran iaitu kemenangan,” katanya.
KL City yang juga juara empat kali Piala Malaysia memiliki sejarah tersendiri dalam kejohanan itu, termasuk mencipta kejutan besar pada 2021 apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 di pentas final bagi menamatkan penantian 32 tahun menjulang trofi berprestij itu.
Sejarah itu menjadi peringatan bahawa Piala Malaysia sering menghadirkan keputusan di luar jangkaan, sekali gus menuntut The City Boys tampil lebih berhati-hati.
Sementara itu, ketua jurulatih Perak FA, Syamsul Saad menegaskan pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada KL City dan tekad mempamerkan aksi terbaik.
“Kami tahu kualiti KL City, cuma apa yang saya terapkan kepada pemain, ini peluang untuk kami menilai tahap sebenar apabila berdepan pasukan Liga Super.
“Sudah pastinya akan memberi tentangan. Saya yakin peminat juga akan datang kerana kami bermain dengan pasukan besar,” ujarnya. – UTUSAN










