Shah Firdaus belum boleh berlumba

Shah Firdaus belum boleh berlumba

Muhammad Shah Firdaus Sahrom masih menjalani rawatan pemulihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk kembali berlumba dalam masa terdekat belum kesampaian berikutan memerlukan tempoh pemulihan yang panjang.

Perkara itu didedahkan Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, John Beasley yang berkata, pelumba berbasikal trek kelahiran Muar itu belum berada pada tahap terbaik untuk menjalani latihan intensiti tinggi.

Beasley berkata, pembedahan lutut kanan pelumba itu Oktober lalu meninggalkan kesan besar, termasuk kehilangan otot ketara sehingga menjejaskan keseluruhan struktur sokongan lututnya.

“Pada tahap ini, dia masih dalam fasa pemulihan dan keadaannya sangat menyakitkan, malah belum hampir untuk kembali berlatih.

“Terdapat banyak kehilangan otot, kira-kira enam sentimeter, jadi kerja membina semula otot dan menguatkan struktur lutut termasuk ligamen akan mengambil masa yang panjang,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan, proses pemulihan perlu dilakukan secara berhati-hati dan terperinci, walaupun tekanan pertandingan semakin menghampiri, termasuk kemungkinan penampilan pertama hanya pada pusingan akhir Piala Dunia UCI di Nilai hujung April.

“Shah perlu bermula dari awal, bina otot, kuatkan ligamen dan struktur lutut. Semua ini bukan sesuatu yang boleh dipercepatkan,” katanya.

Situasi itu bermakna pelumba berusia 30 tahun itu terpaksa melupakan Siri Piala Presiden, Kejohanan Asia serta dua pusingan pertama siri Piala Dunia di Australia dan Hong Kong, sekali gus menandakan kemungkinan separuh tahun 2026 akan dihabiskan di bilik rehabilitasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN