Peperiksaan kebangsaan mengukur kejayaan atau memupuk tekanan?

Peperiksaan kebangsaan mengukur kejayaan atau memupuk tekanan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTIMBANGAN kerajaan untuk mengembalikan semula dua Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebagai tindak balas tekanan orang ramai dan kebimbangan ibu bapa, wajar difikirkan dengan teliti.

Keputusan sebesar dan berimpak tinggi ini tidak seharusnya didorong semata-mata ketidakpuasan hati atau pengalaman dilalui dalam sistem lalu tetapi seharusnya dilakukan dengan pemahaman jelas tentang keadaan semasa pendidikan negara selain visi yang koheren untuk masa hadapan.

Ia dirujuk sebagai ‘kesan balik’ iaitu pengaruh kuat pentaksiran terhadap pengajaran, fokus kurikulum, amalan serta motivasi pembelajaran pelajar.

Kepentingan peperiksaan turut membentuk pengajaran guru, pendekatan dalam kelas dan cara pelajar menilai pembelajaran. 

Dengan ini, pengajaran menjurus ujian dengan guru memberi penekanan hanya kepada kandungan kurikulum yang diuji dan terlalu menekankan hasil pembelajaran akademik yang boleh diukur, terutama kognitif.

Ini mengakibatkan matlamat pendidikan berteraskan pendidikan holistik tidak akan tercapai. Semakin tinggi nilai kepentingan yang diberikan kepada peperiksaan, maka semakin besar impaknya.

Jika Malaysia benar-benar berhasrat untuk menuju ke arah satu sistem pendidikan yang menyokong perkembangan holistik kanak-kanak, merangkumi pertumbuhan mental, fizikal, kognitif dan sosioemosi mereka, maka amalan pentaksiran perlulah sejajar dengan aspirasi tersebut.

Pendekatan sedemikian membolehkan guru mengenal pasti tahap pencapaian murid mengikut standard kurikulum, keperluan individu, seterusnya memberi data bagi guru-guru menyediakan intervensi yang disasarkan mengikut prestasi dan pencapaian individu.

Dalam erti kata lain, amalan pentaksiran bukanlah menggunakan peperiksaan untuk menilai dan membandingkan pelajar.

 

PENGALAMAN NEGARA LUAR

Pengalaman antarabangsa menunjukkan perbezaan sistem pendidikan berprestasi tinggi dalam aspek penggunaan peperiksaan kebangsaan. Finland dan Sweden kurang bergantung pada peperiksaan kebangsaan yang mempunyai kepentingan tinggi semasa pendidikan awal.

Finland, tidak mempunyai peperiksaan kebangsaan wajib untuk pelajar sebelum tamat persekolahan menengah atas dan pentaksiran sebahagian besarnya berasaskan bilik darjah. Satu-satunya peperiksaan kebangsaan utama berlaku pada akhir pendidikan menengah atas untuk menentukan kelayakan kemasukan universiti.

Sweden pula menggunakan peperiksaan kebangsaan yang menyokong pentaksiran guru dan penjajaran kurikulum, bukannya untuk menentukan laluan masa hadapan pelajar. Pendekatan ini mengurangkan tekanan berlebihan dan membolehkan lebih banyak ruang diberikan untuk pembelajaran holistik merentas kurikulum yang luas.

Banyak juga negara yang masih menggunakan peperiksaan standard peringkat kebangsaan dalam pendidikan mereka. Ini kerana mereka perlu memenuhi matlamat dasar tertentu.

Di Perancis, Jepun dan Brazil, peperiksaan kebangsaan berpusat menyediakan ukuran umum pencapaian pelajar merentas pelbagai wilayah, membantu memperakui tamatnya pendidikan menengah atas dan sering dikaitkan dengan akses pendidikan tinggi, biasiswa atau akauntabiliti sekolah.

Sebagai contoh, Baccalauréat Perancis kekal sebagai kelayakan utama kemasukan pendidikan tinggi dan penting kepada cara sistem pendidikannya untuk memperakui kesediaan pelajar ke laluan pasca menengah.

ENEM Brazil (Exame Nacional do Ensino Médio) berfungsi sebagai peperiksaan tamat sekolah tinggi dan laluan utama kemasukan universiti selain digunakan institusi awam dan swasta. Sistem ini mengekalkan peperiksaan kebangsaan sebahagiannya kerana mempunyai penanda aras seragam merentas populasi yang besar dan menyokong mekanisme pemilihan untuk pendidikan tinggi.

Memperkenalkan semula peperiksaan standard kebangsaan di Malaysia akan membawa pendidikan kepada risiko sama seperti zaman berorientasikan peperiksaan sebelum ini. Ia mengaktifkan semula budaya berorientasikan peperiksaan dengan kesan negatif sepertimana didokumentasikan sebelum ini termasuk penyempitan kurikulum dengan penekanan pengajaran dan pembelajaran hanya ditumpukan kepada aspek kognitif, iaitu tumpuan berlebihan pada jenis pengetahuan tertentu, pengurangan perhatian terhadap kreativiti dan kesejahteraan selain sistem pendidikan didorong perbandingan antara individu, bukannya pertumbuhan individu.

Pendekatan sedemikian menghadkan keupayaan pendidik bagi menyokong trajektori perkembangan unik setiap kanak-kanak dan menjejaskan usaha dalam memastikan pembelajaran yang saksama dan bermakna untuk semua.

Terdapat hujah yang menyatakan kesan ketiadaan peperiksaan kebangsaan ialah kurangnya motivasi belajar dan untuk meneruskan pendidikan dalam kalangan murid, khususnya murid sekolah menengah. Harus difahami, motivasi untuk belajar dan meneruskan pendidikan terbahagi intrinsik dan ekstrinsik.

Apabila pelajar terdorong belajar hanya kerana persaingan dan keinginan cemerlang dalam peperiksaan kebangsaan menyebabkan motivasi mereka bersifat luaran (ekstrinsik). Namun begitu, terdapat juga pelajar yang meneruskan pendidikan kerana mereka bermotivasi untuk belajar atas tujuan sendiri seperti keinginan untuk menimba ilmu dan melibatkan diri dalam aktiviti seperti sukan, hiburan, bahasa atau seni. Mereka ini bermotivasi secara intrinsik.

Sekiranya memahami Kurikulum Baharu 2027 dengan jelas, kita akan melihat Malaysia berhasrat untuk mendidik kanak-kanak menghargai pendidikan berdasarkan pengalaman sepanjang tahun-tahun perkembangan mereka.

Hal ini hanya dapat dicapai melalui pengalaman pembelajaran yang kontemporari, bidang minat yang merangkumi seni, sains dan literasi digital, serta pengalaman pembelajaran melangkaui bilik darjah. 

Kesemua ini seharusnya menjadi pemangkin untuk memotivasikan murid ke sekolah dan terhadap pendidikan, bukannya persaingan dalam peperiksaan kebangsaan.

Pada akhirnya, persoalan utama bukanlah mengenai sama ada peperiksaan kebangsaan perlu atau tidak tetapi adakah memenuhi jenis pendidikan yang diimpikan Malaysia untuk masa hadapan?

Pembaharuan pendidikan mestilah berpandukan matlamat negara jangka panjang dan dasar berdasarkan bukti, bukan tekanan jangka pendek. 

Pentaksiran harus menyokong pembelajaran demi kemenjadian pelajar bukan menentukan pembelajaran.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Ainol Madziah Zubairi ialah Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Pengarah Pusat Pengukuran, Penilaian dan Pengujian (IMET) dan Majlis Pentaksiran Pendidikan Islam Malaysia (MPPI) serta ahli Unit Kajian Kemenjadian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN