Pasukan divisyen dua malukan Real

Pasukan divisyen dua malukan Real

Alvaro Arbeloa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Alvaro Arbeloa memulakan tugasan pertamanya selaku pengendali dengan langkah sumbang selepas Real Madrid mengalami kekalahan mengejut 3-2 dalam pusingan 16 terakhir Copa del Rey di tangan pasukan divisyen keua.

Selepas dilantik Isnin lalu menggantikan Xabi Alonso, Arbeloa dan pasukannya tersingkir hasil jaringan kemenangan masa kecederaan oleh Jefte Betancor di Stadium Carlos Belmonte.

Tanpa bintang Perancis Kylian Mbappe dan beberapa pemain utama lain, pasukan Arbeloa bergelut menentang pasukan yang kini berada di tangga ke-17 divisyen Segunda Sepanyol.

Albacete mendahului menerusi jaringan Javi Villar tetapi Franco Mastantuono menyamakan kedudukan sejurus sebelum separuh masa.

Jefte kembali meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-82 sebelum menjaringkan gol kemenangan selepas gol Gonzalo Garcia pada minit ke-91 kelihatan memaksa perlawanan ke masa tambahan buat juara Eropah 15 kali itu.

“Di kelab ini, keputusan seri pun sudah buruk, ia satu tragedi. Bayangkan kekalahan seperti ini, ia amat menyakitkan.

“Saya pasti semua penyokong kami merasakan perkara yang sama. Lebih-lebih lagi apabila ia berlaku menentang pasukan dari divisyen lebih rendah, walaupun kami sudah tahu betapa sukarnya mana-mana lawan di sini.

“Jika ada sesiapa yang bertanggungjawab dan patut dipersalahkan atas keputusan ini, jelas ia saya. Orang yang membuat keputusan mengenai barisan pemain, cara kami mahu bermain, dan pertukaran pemain.

“Saya hanya boleh mengucapkan terima kasih kepada para pemain atas cara mereka menyambut saya, serta usaha yang mereka berikan hari ini,” kata Arbeloa. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN