Mane wira sebenar Senegal

Mane wira sebenar Senegal

Sadio Mane dijulang rakan sepasukan selepas Senegal menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 setelah menewaskan Maghribi 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Putera Moulay Abdellah, Rabat, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Sadio Mane menjadi watak penting ketika memujuk rakan sepasukan kembali ke padang untuk meneruskan aksi final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 sebelum Senegal mengesahkan kejuaraan, semalam.

Aksi final di Stadium Prince Moulay Abdellah, Rabat itu tergendala hampir 20 minit ketika aksi memasuki masa kecederaan selepas pemain Senegal meninggalkan padang susulan penalti kontroversi yang diberikan kepada Maghribi.

Bagaimanapun, Mane menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi apabila kekal di padang dan berbincang dengan pegawai serta pemain Maghribi sebelum pengendali Senegal, Pape Thiaw memanggil semua pemainnya.

Thiaw memulakan tindakan meminta pemainnya keluar padang ketika pengadil, Jean Jacques Ndala meneliti eksiden di skrin video bantuan pengadil (VAR) sebelum menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Pemain Senegal bertindak meninggalkan padang dan menuju ke terowong dan tidak lama selepas itu Mane yang mempunyai 26 penampilan Bersama negaranya memberi isyarat supaya rakan sepasukan kembali beraksi.

Sejurus perlawanan bersambung, Brahim Diaz melakukan penalti gaya Panenka pada minit ke-24 masa kecederaan, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

Senegal membalas empat minit selepas masa tambahan bermula apabila Pape Gueye melepaskan rembatan dari luar kotak yang menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bouno, untuk gol tunggal perlawanan.

“Kami berasa tidak adil dilayan. Sejurus sebelum penalti itu, kami fikir kami sepatutnya mendapat gol dan pengadil tidak merujuk VAR,” kata Guaye sambil menambah Mane menggesa pasukan kembali ke padang untuk menghadapi sepakan penalti berkenaan.

Menurut Guaye yang juga pemain tengah Villarreal di LaLiga, Mane menunjukkan semangat kesukanan tinggi dengan memberi semangat kepada rakan sepasukan untuk bangkit biarpun lawan diberikan sepakan penalti.

“Mane memberitahu kami supaya kembali ke padang dan kami bangkit semula. Mendy kemudian melakukan penyelamatan sepakan penalti, kami kekal fokus, menjaringkan gol dan memenangi perlawanan,” kata Guaye.

Ia adalah gelaran AFCON kedua buat Senegal, empat tahun selepas mereka memenangi kejuaraan sulung di Cameroon menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir menentang Mesir.

Lions of Teranga turut dua kali muncul naib juara dan jaringan Gueye itu cukup istimewa kerana ia adalah gol pertama Senegal dalam empat penampilan perlawanan akhir AFCON sepanjang sejarah mereka.- AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN