KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mendapat peluang mengikuti latihan berkualiti tinggi menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 selepas kehadiran bintang India, Lakshya Sen di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Latihan bersama pemain No.13 dunia itu dianggap persiapan terbaik buat bekas juara remaja Asia itu menampilkan aksi cemerlang dalam kejohanan Jelajah Dunia Super 1000, terutamanya beraksi di laman sendiri.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen berkata kehadiran Lakshya memberi banyak manfaat kepada pemain-pemain negara kerana jarang mendapat peluang berlatih dengan rakan sepelatih bertaraf dunia.
“Ya, dia (Lakshya) menyertai sesi latihan bersama kami untuk beberapa hari ini. Dia datang ke sini sebagai persediaan menghadapi Terbuka Malaysia dan kehadirannya sangat dialu-alukan.
“Saya rasa ini memberikan manfaat kepada kami kerana kualiti latihan seperti ini tidak diperoleh setiap hari dan ia merupakan peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan semua pemain,” kata Jonassen kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, semalam.
Menjelang pusingan pertama yang membuka tirai Selasa ini, Jun Hao dijadual berdepan pemain ranking ke-29 dunia dari China, Wang Zheng Xing, dengan kedua-dua pemain belum pernah bertemu sebelum ini.
Jonassen menjelaskan, kehadiran pemain bertaraf dunia seperti Lakshya mampu menjadikan suasana latihan seakan perlawanan sebenar selain memberikan kualiti dan kelajuan yang berbeza.
“Kualiti dan kelajuan yang dihasilkan pemain bertaraf dunia dalam latihan sangat berbeza. Itulah tekanan yang kita rasakan apabila bermain dalam kejohanan, bagi saya ini situasi menang-menang,” ujar Jonassen.
Selain Jun Hao, misi dalam acara perseorangan lelaki turut digalas pemain profesional, Lee Zii Jia yang kembali ke kejohanan kompetitif selepas berehat panjang akibat kecederaan. – UTUSAN










