“PENGHAKIMAN yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa memandangkan dalam sistem keadilan, seorang hakim adalah watak penting serta mempunyai peranan besar.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Agak sukar untuk masyarakat merasa aman sentosa dalam pada berlegar-legar tuduhan di media sosial kononnya berlaku pendakwaan terpilih dalam negara.
Dalam pada institusi kehakiman disucikan, kerajaan harus juga melihat agar kesemua institusi yang terlibat dalam sistem perundangan turut sama diharmonikan.
Apatah lagi apabila disenaraikan begitu banyak kes tular yang akhirnya diam tanpa noktah. Seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang mampu menutupkan kes tanpa perlu mengheret pihak yang terlibat ke muka pengadilan.
Sikap tidak tegas sebegini akan meruntuhkan kepercayaan masyarakat kepada sistem perundangan negara. Lebih-lebih lagi apabila timbul persoalan di minda orang ramai, adakah undang-undang hanya digunapakai untuk kelas tertentu sahaja?
Jika pelaku daripada golongan marhaen, waima kes curi sabun buat mandian anak sekalipun didakwa di mahkamah. Namun jika yang melakukan kesalahan itu melibatkan orang ternama yang mempunyai pengaruh besar, biarpun kes melibatkan nyawa orang lain, kes boleh didiamkan.
Kerana itulah pelbagai pihak kian mendesak agar pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya segera dilakukan segera.
Pada minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberikan komitmen rang undang-undang (RUU) bagi isu ini akan dibawa ke Parlimen pada 19 Januari nanti.
Saya amat berharap RUU ini akan diperdebatkan dengan baik di Parlimen nanti agar manfaatnya sampai ke masyarakat umum.
Buat masa ini, Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Peguam Negara berkewajipan menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atau jemaah menteri atau mana-mana menteri mengenai isu perundangan dan melaksanakan apa-apa tugas perundangan lain, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh YDPA atau jemaah menteri.
Selain itu, Peguam Negara berkewajipan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya di bawah Perlembagaan atau mana-mana undang-undang lain.
Sedangkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
Malah di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Acara Jenayah, kuasa mengawal dan budi bicara Pendakwa Raya dalam prosiding jenayah sekali lagi ditekankan.

ELAK CAMPUR TANGAN POLITIK
Mutakhir ini pelbagai kes pendakwaan terpilih jelas membuktikan sudah menjadi mustahak untuk negara memisahkan peranan dua institusi ini. Jika tidak, campur tangan politik akan terus berleluasa dalam penentuan liabiliti jenayah individu yang dituduh telah melakukan suatu kesalahan.
Lebih teruk lagi, ada dakwaan beberapa ahli politik yang diheret ke mahkamah selepas peralihan kuasa pemerintahan gara-gara dendam politik pihak yang menang. Tidak kurang juga beberapa kes bersifat politik yang diheret ke mahkamah namun akhirnya didiamkan dengan penarikan balik kes oleh pihak pendakwaan gara-gara menolong sesama ‘kawan’.
Di mana keadilan buat rakyat yang mempertaruhkan kepercayaan kepada politikus sebagai pemimpin negara?
Lebih malang lagi, wujud juga pelbagai isu sosial yang disenyapkan tanpa penyelesaian yang tuntas. Sebagai contoh, banyak kes yang tular melalui laporan berita dan hangat diperdebatkan di media sosial namun masih belum melalui proses pendakwaan di mahkamah.
Selain kes serbuan di bawah Ops Songsang yang sudah menyepi dan kes pemandu khayal memandu dalam keadaan tayar kereta sudah meletup, kes kibaran Jalur Gemilang terbalik juga mendiamkan diri.
Bahkan, ketika kes Ops Songsang masih belum menemui jalan penghujung, timbul pula laporan mengenai penganjuran Glamping With Pride di Hulu Langat dan hotel mesra gay di Melaka.
Elemen yang menjahanamkan moraliti masyarakat dilihat sengaja dinaikkan dan dipromosi secara terbuka. Keterbukaan ini adalah langkah biadab yang sengaja diadakan bagi mencipta kegusaran dalam masyarakat.
Di mana budi bicara Pendakwa Raya bila kes-kes berat sebegini dibiarkan tanpa resolusi?
Meskipun akhirnya penganjur perkhemahan itu memutuskan untuk membatalkan program, namun diuar-uarkan pula kononnya pembatalan adalah kerana mereka mementingkan keselamatan peserta dan bukannya bagi menghormati undang-undang negara.
Manakala di Melaka, lesen bagi hotel yang mengiklankan kemudahan mesra gay telah ditarik dan pemilik hotel dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan. Malangnya, pemilik hotel berkenaan tidak hadir bagi memberikan keterangannya.
Jika sebelum ini beberapa aktivis sosial dan ahli politik pernah diheret ke mahkamah atas dakwaan kononnya menyebabkan kegusaran kerana kelantangan mereka dalam isu yang memainkan elemen perkauman, mengapa pihak yang secara terang-terangan menyokong aktiviti tidak bermoral dan menghina perundangan negara dibiarkan lepas?
Jangan pula nanti kedua-dua insiden ini juga akan didiamkan pihak berkuasa sepertimana yang sedang berlaku dalam kes serbuan Ops Songsang.
Apa yang telah berlaku secara jelas melanggar undang-undang negara, namun ketiadaan tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat ‘menghalalkan’ keruntuhan akhlak yang berleluasa di dalam negara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










