Kecerdasan buatan alat kewangan Islam beretika

Kecerdasan buatan alat kewangan Islam beretika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECERDASAN buatan (AI) sedang mengubah landskap kewangan global dengan membawa ketepatan, kepantasan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi dalam pelaporan kewangan. 

Penyelidikan kewangan antarabangsa menunjukkan AI berpotensi meningkatkan kecekapan operasi kewangan melebihi 20 peratus melalui automasi, analitik masa nyata dan sistem kawalan dalaman yang dipertingkatkan. Ini membuktikan  AI semakin menjadi komponen penting dalam pengurusan kewangan moden dan bukan sekadar trend teknologi. 

Integrasi AI ke dalam proses pelaporan kewangan menawarkan peluang besar untuk meningkatkan kecekapan operasi serta akauntabiliti etika dalam institusi Islam. 

Al-Quran dan sunnah menjadi sumber utama panduan etika dan perundangan bagi semua aktiviti manusia, termasuk perkembangan teknologi. Al-Quran secara jelas menolak amalan perniagaan yang bersifat eksploitatif seperti riba, maysir dan gharar. Misalnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Surah al-Baqarah, ayat 275). 

Justeru itu, sistem kewangan Islam menekankan ketelusan, keadilan, amanah dan kecemerlangan sebagaimana teras nilai syariah. Apabila digunakan secara bertanggungjawab, teknologi AI dapat memperkukuh nilai-nilai ini sekali gus menguatkan integriti institusi dan kepercayaan masyarakat. 

Dengan mengautomasi pelaporan kewangan, mempertingkatkan jejak audit serta mengurangkan kesilapan manusia, AI bukan sahaja memperkukuh tadbir urus dalaman tetapi juga memastikan amalan kewangan terus selaras dengan prinsip moral dan etika yang digariskan dalam al-Quran dan sunnah. 

Kekuatan ini membantu institusi Islam mengekalkan integriti sambil memberikan perkhidmatan yang meyakinkan dan boleh dipercayai kepada pihak berkepentingan. 

Ketelusan (al-Tashfiyah) merupakan antara nilai teras Islam khususnya dalam urusan kewangan. Al-Quran menegaskan larangan menyembunyikan maklumat dan menekankan kepentingan dokumentasi yang jelas melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, dan sesiapa yang menyembunyikannya maka hatinya berdosa” (Surah al-Baqarah, ayat 283). 

Dalam konteks ini, teknologi AI berupaya meningkatkan tahap ketelusan melalui penghasilan laporan yang piawai, masa nyata, mudah dikesan serta boleh diaudit. 

Melalui rekod log yang konsisten dan dokumentasi proses yang teratur, institusi dapat membina budaya keterbukaan mahupun akauntabiliti yang seterusnya mengukuhkan kepercayaan pihak berkuasa, penderma dan penerima manfaat. Hal ini penting dalam kewangan Islam kerana aspek legitimasi dan kredibiliti merupakan keutamaan. 

Namun begitu, ketelusan yang sebenar bukan sekadar bergantung pada laporan teknikal semata-mata sebaliknya memerlukan sistem AI yang boleh dijelaskan, termasuk penjelasan mengenai cara keputusan dibuat, data yang digunakan dan implikasi sosialnya. 

Pada masa sama, akauntabiliti menuntut mekanisme tadbir urus yang kukuh bagi memastikan pihak yang mereka bentuk dan menggunakan teknologi ini bertanggungjawab terhadap kesan etika dan sosial yang terhasil. Apabila ketelusan dan akauntabiliti bergerak seiring, AI akan kekal selaras dengan nilai Islam dan seterusnya memperkukuh, bukannya menjejaskan, integriti amalan kewangan. 

Dalam pengurusan kewangan, AI berpotensi membantu memelihara keadilan sekiranya dibangunkan secara beretika. Dengan mengurangkan berat sebelah manusia serta meningkatkan ketepatan data kewangan, dapat menyokong keputusan yang lebih adil, termasuk dalam pengagihan zakat dan pengurusan wakaf. 

Namun potensi ini hanya dapat direalisasikan jika risiko berat sebelah algoritma ditangani dengan serius. Jika diabaikan, mungkin mengulangi ketidaksamarataan sedia ada dan bertentangan dengan tuntutan keadilan dalam Islam. Oleh itu, sistem AI perlu dibangunkan dengan tadbir urus data yang telus serta reka bentuk algoritma yang inklusif. 

Usaha ini memerlukan kerjasama pelbagai disiplin melibatkan sarjana Islam, ahli etika dan pakar teknologi supaya inovasi teknikal bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga benar-benar mempromosikan keadilan serta mengelakkan ketidakadilan sistemik. 

Prinsip Amanah turut menjadi tunjang penting dalam etika Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa setiap manusia adalah pemegang amanah dan bertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah jagaan mereka. 

Dalam hal ini, AI dapat menyokong kewajipan moral tersebut dengan mengurangkan peluang berlakunya penipuan dan manipulasi melalui pemeriksaan automatik, ketelusan sistem dan pengurusan data yang lebih boleh dipercayai. 

Apabila maklumat kewangan dihasilkan dengan campur tangan manual yang minimum, risiko kesilapan dan penyelewengan dapat dikurangkan sekali gus mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap integriti institusi. 

AI juga dijangka dapat memperkukuh pematuhan syariah melalui pengesanan automatik terhadap transaksi yang melibatkan unsur yang dilarang seperti riba, perjudian dan alkohol. Penggunaan AI generatif pula memerlukan penelitian yang kritikal supaya sistem ini tidak meniru logik kewangan berasaskan faedah seperti dalam bon konvensional atau instrumen spekulatif walaupun kelihatan neutral. 

Sistem ini dijangka mampu memantau transaksi masa nyata dan mengesan potensi pelanggaran syariah seperti bayaran faedah tersembunyi atau aktiviti perdagangan spekulatif. Langkah ini mengurangkan kebergantungan kepada audit manual sambil memperkukuh perlindungan etika dalam sistem kewangan. 

Dalam konteks kewangan Islam, prinsip al-Ihsan iaitu usaha mencapai tahap kecemerlangan turut diberi penekanan. Prinsip ini bukan sahaja terhad kepada akhlak individu tetapi juga merangkumi amalan institusi seperti pelaporan kewangan. 

Walaupun AI menyediakan alat untuk meningkatkan kecekapan melalui analisis ramalan dan automasi, namun keselarasan sebenar dengan nilai Ihsan terletak pada peningkatan ketepatan, ketepatan masa serta kejelasan maklumat yang dilaporkan. 

Pelaporan kewangan dalam institusi Islam bukan sekadar kewajipan peraturan tetapi tanggungjawab moral kepada pihak berkepentingan termasuk pengawal selia, pelabur dan masyarakat. Dengan mengaplikasikan sistem AI yang meminimumkan kesilapan, mengesan anomali dan memperkukuh jejak audit, institusi menunjukkan komitmen terhadap integriti profesional serta tanggungjawab sosial. 

 

PENGGUNAAN kecerdasan buatan (AI) dalam pelaporan kewangan Islam berpotensi besar meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pematuhan syariah apabila dilaksanakan secara beretika.

 

ZAKAT, WAKAF

Akhir sekali, penggunaan strategik teknologi ini bepotensi besar untuk meningkatkan impak sosial institusi Islam. Teknologi ini boleh mempertingkatkan keberkesanan institusi zakat dan wakaf dengan membantu mengenal pasti komuniti yang kurang mendapat perhatian, menganalisis keperluan penerima manfaat dengan lebih tepat serta memantau agihan dana secara berkesan. 

Usaha ini selaras secara langsung dengan Maqasid al-Shariah yang bertujuan memelihara kebajikan manusia, keadilan sosial dan kesejahteraan ekonomi. 

Secara keseluruhannya, AI dalam pelaporan kewangan Islam tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada nilai agama. Sebaliknya, apabila dibimbing oleh prinsip Syariah dan tadbir urus etika yang kukuh,  teknologi ini menjadi alat yang kuat untuk mencapai kecemerlangan, keadilan dan kebaikan sosial. -UTUSAN

 

DR. Yazkhiruni Yahya ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×