PETALING JAYA: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memberitahu tonggak sayapnya, Arif Aiman Hanapi tidak akan kembali dalam masa terdekat berikutan kecederaan otot paha pemain itu.
Beliau turut meluahkan rasa sedih dengan situasi tersebut kerana skuad Harimau Selatan kehilangan pemain terbaik dalam pasukan itu.
Munoz bagaimanapun percaya Arif Aiman mampu bangkit dengan lebih kuat dan dia hanya perlu fokus mengenai tempoh pemulihan terlebih dahulu.
“Dia (Arif Aiman) tidak akan kembali dalam masa terdekat tetapi kita perlu bertenang. Lebih penting untuk dia menjalani proses pemulihan dan memerlukan masa untuk meningkatkan keadaannya.
“Dia adalah pemain muda terbaik di Asia dan sudah pasti sebagai jurulatih, ia satu keadaan yang teruk apabila anda kehilangan pemain seperti ini.
“Ini adalah realiti kerana dia adalah yang terbaik dengan karakternya dan idea JDT. Saya tahu dia sedang bekerja keras dan sudah tentu akan bangkit dengan lebih kuat.
“Ia satu detik yang indah apabila Arif sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan dan tiga mata pada malam ini (kelmarin) turut didedikasikan untuknya yang menonton perlawanan di rumah,” kata Munoz. – UTUSAN










