RABAT: Cameroon memusnahkan harapan Afrika Selatan untuk mara ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam pusingan 16 terakhir di Stadium Al Medina, semalam.
Junior Tchamadeu membuka jaringan pada minit ke-34 sebelum penyerang remaja Bayer Leverkusen, Christian Kofane menanduk gol kedua hanya dua minit selepas separuh masa kedua.
Afrika Selatan cuba bangkit di akhir permainan apabila Evidence Makgopa menjaringkan gol pada minit ke-88, namun ia tidak cukup untuk mengubah keputusan.
Kemenangan itu membawa Cameroon ke suku akhir Jumaat ini bertemu tuan rumah Maghribi, yang memburu kejuaraan pertama AFCON selepas 50 tahun.
Pengendali Cameroon, David Pagou, mahu menikmati kemenangan ini dahulu sebelum memikirkan aksi suku akhir berdepan Maghribi.
Sementara itu, Brahim Diaz memastikan Maghribi mara ke suku akhir selepas meledak gol tunggal pada minit ke-64 ketika menewaskan Tanzania 1-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Rabat.
Diaz meledak gol keempatnya dalam kejohanan itu untuk membantu tuan rumah menempah slot ke kelompok lapan terbaik, meskipun perlu mengharungi perlawanan yang mendebarkan. – AGENSI/UTUSAN










