Bila graduan berjiwa, negara akan terjamin

Bila graduan berjiwa, negara akan terjamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM usaha membina Malaysia yang bebas rasuah dan salah guna kuasa, peranan mahasiswa sering diangkat sebagai ejen perubahan dan harapan masa hadapan negara. 

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bersetuju mahasiswa mempunyai potensi besar untuk menjadi benteng integriti. Namun, pengalaman panjang negara dan pemerhatian terhadap realiti semasa mengajar kita satu hakikat penting iaitu potensi ini hanya akan membawa kebaikan jika dibimbing dengan ilmu, akhlak dan kebijaksanaan.

 

FASA KRITIKAL PEMBENTUKAN NILAI

Universiti merupakan fasa terakhir pembentukan nilai sebelum seseorang memasuki alam kerjaya sama ada sebagai penjawat awam, profesional, ahli korporat atau pemimpin masyarakat. Jika integriti gagal dipupuk di peringkat ini, amat sukar untuk mengharapkan individu tersebut kebal daripada godaan kuasa, wang dan kepentingan apabila memegang jawatan kelak.

Malaysia tidak ketandusan graduan cemerlang dari segi akademik. Namun, negara masih memerlukan lebih ramai graduan yang berjiwa. Ini kerana seorang graduan bukan sahaja perlu bijak tetapi mempunyai kompas moral, kejujuran dan keberanian menolak rasuah walaupun peluang terbuka luas di hadapan mereka.

Normalisasi salah laku jarang bermula secara besar-besaran. Ia bermula dengan kompromi kecil yang dibiarkan, dirasionalkan dan akhirnya diterima sebagai kebiasaan.

Dalam mengangkat peranan mahasiswa, MCW juga menegaskan keperluan untuk berhati-hati. Golongan muda secara fitrahnya bersifat idealis, beremosi dan penuh semangat. Ini mungkin dilihat sebagai kekuatan tetapi juga boleh menjadi kelemahan jika tidak dipandu dengan baik.

Sejarah dan pengalaman menunjukkan mahasiswa boleh terdedah kepada manipulasi ideologi, maklumat separuh benar dan sentimen emosi, terutamanya apabila wujud pihak-pihak tertentu yang mengeksploitasi keghairahan mereka atas nama perjuangan, kebajikan atau keadilan.

Oleh itu, membina mahasiswa berintegriti bukan bermaksud membiarkan mereka bergerak tanpa panduan, tetapi memastikan keberanian mereka berpaksikan fakta, ilmu dan akal budi.

 

CABARAN SEMASA

Selain isu rasuah dan salah guna kuasa, mahasiswa hari ini berdepan cabaran baharu dalam bentuk fahaman ekstrem, penyelewengan agama dan ketaksuban ideologi. Terdapat kes pelajar yang terpengaruh sehingga sanggup meninggalkan pengajian, memutuskan hubungan keluarga dan menggadaikan masa hadapan atas nama perjuangan atau kepercayaan yang diselewengkan.

Fenomena ini bukan sekadar isu individu tetapi masalah sosial dan keselamatan yang memerlukan perhatian serius semua pihak termasuk universiti, keluarga, masyarakat sivil dan agensi berkaitan.

 

MAHASISWA memainkan peranan penting sebagai benteng integriti dan harapan masa hadapan Malaysia bebas rasuah.

 

PERANAN PENSYARAH DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

MCW menghormati peranan pensyarah sebagai tonggak intelektual negara. Majoriti pensyarah melaksanakan amanah dengan penuh integriti. Namun, institusi pengajian tinggi juga perlu memastikan wujud sistem semak dan imbang agar autoriti akademik tidak disalahgunakan untuk menyemai ketaksuban atau mempengaruhi pelajar secara tidak bertanggungjawab.

Universiti mesti kekal sebagai medan perbahasan intelektual yang sihat, terbuka dan berfakta, bukan ruang doktrinasi atau pemujaan ideologi tertentu.

 

DISIPLIN INTEGRITI 

Bagi MCW, membenci rasuah bukan sekadar reaksi emosi atau slogan. Ia memerlukan disiplin nilai yang jelas.

Syarat wajib membenci rasuah ialah kejujuran dan integriti dalaman selain kesediaan untuk berlaku adil walaupun  merugikan diri sendiri.

Syarat perlu pula termasuk ilmu, keberanian moral, kefahaman sistem dan bimbingan yang betul. Tanpa ilmu, keberanian menjadi kebiadaban sementara tanpa akhlak pula membolehkan, idealisme berubah menjadi kekacauan.

Atas kesedaran ini, MCW melihat keperluan untuk terlibat secara aktif, agresif tetapi bertanggungjawab dengan universiti. Namun, penglibatan ini bukan dalam bentuk hasutan atau gerakan emosi, sebaliknya pembinaan ekosistem integriti yang berterusan  melalui wacana kritikal, latihan pemikiran beretika dan pembudayaan akauntabiliti.

MCW tidak berminat melahirkan mahasiswa yang lantang menentang rasuah tetapi gagal mempraktikkan integriti apabila berkuasa. Negara memerlukan pemimpin muda yang berani, tetapi berakal; kritikal tetapi beradab.

 

BENTENG BERILMU

Mahasiswa sememangnya benteng penting negara. Namun, benteng yang kukuh tidak dibina dengan api emosi semata-mata tetapi dengan ilmu, akhlak dan kebijaksanaan.

Jika Malaysia benar-benar mahu membina masa hadapan yang bebas rasuah, maka tugas kita bukan sekadar membangkitkan semangat melawan tetapi membentuk jiwa yang tahu apa yang patut dilawan, bagaimana melawan dan dengan cara yang membina.

Di sinilah peranan bersama MCW, universiti, pensyarah, ibu bapa dan masyarakat  untuk membimbing, bukan memanipulasi. Mereka perlu mendidik, bukan menghasut. Mereka juga harus membina, bukan membakar.

Masa hadapan negara tidak boleh diserahkan kepada ketaksuban tetapi mesti dipikul oleh generasi berintegriti yang matang, berakal dan berjiwa besar.-UTUSAN

PENULIS ialah Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×