PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) membuat keputusan menghantar Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif mewakili negara ke Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan di Poland, Mac ini.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mahu memberi tumpuan kepada pengajian di universiti manakala Danish Danish Iftikhar Muhammad Roslee masih berdiam diri.
“Saya pernah tanya dengan Danish di Bangkok tapi dia nak berbincang dengan ayahnya tapi tiada jawapan diberikan. Sekarang kita hantar atlet lari berpagar terbaik untuk acara 60 meter (m) berpagar.
“Kalau Danish tidak mahu pergi kita hantar atlet lari berpagar sebab kita kena pastikan atlet berada dalam keadaan bersedia untuk menyertai kejohanan itu.
“Azeem tolak, Danish belum bagi jawapan jadi kita bagi kepada atlet lari berpagar,” katanya.
Karim turut mengesahkan pihaknya telah menerima pengesahan daripada Armin Zahryl yang menyatakan persetujuannya untuk beraksi di Poland.
Armin, 21, antara prospek negara susulan kejayaannya membawa pulang gangsa dalam acara 110m berpagar pada Sukan SEA Thailand 2025 dengan catatan masa 13.85 saat (s). – UTUSAN










