Alcaraz, Sabalenka mudah ke pusingan kedua

Alcaraz, Sabalenka mudah ke pusingan kedua

Aryna Sabalenka membalas pukulan lawannya dari Perancis, Tiantsoa Sarah dalam aksi perseorangan wanita tenis Terbuka Australia di Melbourne, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Carlos Alcaraz dan Aryna Sabalenka melangkah ke pusingan kedua Terbuka Australia ketika hari pembukaan kejohanan dicemari rungutan peminat susulan cuaca panas, barisan panjang di pintu masuk dan penjualan tiket di pintu masuk dihentikan secara mengejut.

Rekod kehadiran 100,763 penonton di Melbourne Park tetap menyaksikan kemenangan pemain pilihan termasuk Alexander Zverev dan Jasmine Paolini, di samping episod emosional Venus Williams yang tersingkir selepas mensia-siakan kelebihan besar dalam set penentuan.

Alcaraz yang memburu gelaran sulung di Melbourne untuk melengkapkan Grand Slam kerjaya mempamerkan ketenangan menewaskan wakil tuan rumah Adam Walton, meskipun jelas masih mencari rentak selepas berehat panjang tanpa kejohanan pemanas badan.

“Saya hanya duduk di rumah sebelum kejohanan. Ianya lebih baik untuk berehat. Duduk di rumah dengan orang yang kamu saying,” kata Alcaraz.

Sabalenka pula tidak berdepan masalah besar menewaskan pemain debut Perancis, Tiantsoa Sarah sebelum mempamerkan sisi santai apabila berswafoto bersama legenda tenis Roger Federer, menandakan keyakinannya dalam misi memburu gelaran ketiga di Australia.

“Ini perlawanan pertama. Kami sentiasa cuba mencari dimana rentak permainan. Saya gembira saya mampu menamatkan perlawanan straight set,” kata Sabalenka.

Saingan turut menyajikan kejutan apabila beberapa pemain pilihan tersingkir awal, selain aksi terpuji pemain kelayakan Turkiye, Zeynep Sonmez, yang menghentikan perlawanan untuk membantu pengutip bola yang pengsan akibat kepanasan.

Bagaimanapun, tumpuan awal kejohanan turut beralih kepada isu penganjur apabila penjualan tiket ‘ground pass’ dihentikan atas alasan permintaan tinggi, sekali gus mengecewakan ratusan peminat yang sudah lama beratur di bawah matahari terik. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN