DOHA: Pelumba Red Bull, Max Verstappen mengakui terkejut apabila McLaren tidak masuk pit lebih awal pada Grand Prix (GP) Qatar sehingga memberi ruang kepadanya untuk menakluk Litar Antarabangsa Lusail, semalam.
Juara dunia empat kali Red Bull itu mengambil kesempatan daripada kesilapan strategi McLaren untuk meraih kemenangan sekali gus membuka peluang pertarungan tiga penjuru bagi kejuaraan di Abu Dhabi hujung minggu depan.
Bercakap sejurus selepas meraih kemenangan ketujuhnya musim ini yang tidak dijangka, Verstappen berkata, dia mendapati keputusan McLaren untuk tidak memasukkan pelumba mereka ke pit sebagai satu langkah yang menarik.
“Itu satu langkah yang menarik. Saya tahu kami ada jurang tetapi anda masih perlu menjaga tayar. Kemerosotan tayar sangat tinggi di sini dan nasib baik semuanya berjalan lancar,” kata Verstappen.
Verstappen kini mengurangkan jurang pendahuluan kejuaraan pemandu milik pemandu McLaren, Lando Norris kepada 12 mata menjelang perlumbaan penentu di GP Abu Dhabi.
Kereta keselamatan memasuki litar pada pusingan ketujuh selepas perlanggaran antara Nico Hulkenberg dari Sauber dan Pierre Gasly dari Alpine.
Ditanya tentang maksud keputusan itu untuk peluangnya memenangi gelaran dunia kelima berturut-turut, Verstappen menjawab: “Semuanya mungkin sekarang! Kita akan lihat. Saya tak terlalu risau tentangnya.”
Verstappen berkata, keputusan strategi McLaren itu adalah yang terbaharu dalam senarai kesilapan yang dilakukan pesaingnya musim ini.
“Saya tak sangka saya akan menang hari ini (semalam), itu sudah pasti. Melihat kepada kelajuan mutlak, kami tidak berada pada tahap yang sama dengan McLaren tetapi kami membuat keputusan yang betul seperti kebanyakan pelumba lain dengan memasuki pit,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










