Pemimpin berintegriti menegakkan keadilan, amanah

Pemimpin berintegriti menegakkan keadilan, amanah

RASUAH dapat ditangani sekiranya pemimpin bertindak tegas, konsisten dan tidak berkompromi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM wacana integriti moden, istilah iltizam politik sering dikaitkan dengan keberanian pemimpin untuk bertindak tegas, konsisten dan tidak berkompromi dalam memerangi rasuah

Namun, konsep ini bukanlah gagasan Barat seperti yang sering disalah fahamkan. Sebaliknya, ia mempunyai akar yang sangat kukuh dalam syariat Islam, sejarah pemerintahan Nabi Muhammad SAW, era Khulafa’ ar-Rasyidin, serta pandangan ulama muktabar yang menekankan keadilan dan amanah sebagai asas pemerintahan.

Islam bukan sekadar menyeru pemimpin bersikap amanah sebaliknya menuntut keberanian moral, integriti politik dan ketegasan dalam menegakkan kebenaran walaupun berisiko. 

Dengan kata lain, Islam bukan sahaja berbicara mengenai integriti tetapi  mendefinisikan dan menghidupkan iltizam politik dalam memerangi rasuah dan kezaliman.

 

  1. Nas al-Quran: Asas Ilahi kepada iltizam politik
  •  Amanah dan keadilan sebagai kewajipan kepimpinan

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak… dan apabila kamu berhukum, hendaklah kamu berhukum dengan adil.”(An-Nisa’ 4:58)

Ayat ini adalah ‘manifesto Ilahi’ yang menjelaskan tiga asas iltizam politik:

  • Amanah mesti dikembalikan kepada yang berhak

  • Pemimpin wajib adil dalam semua keadaan

  • Keputusan politik tidak boleh tunduk kepada kepentingan kelompok atau tekanan kuasa.

  • Keberanian menegakkan kebenaran walaupun merugikan diri 

“Tegakkanlah keadilan, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau kaum keluarga kamu.” (An-Nisa’ 4:135)

Ini adalah standard tertinggi iltizam politik menurut Islam seperti keberanian menolak kepentingan peribadi demi prinsip.

  •  Larangan bersekutu dengan kezaliman (Hud 11:113)

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang zalim.” (Hud 11:113)

 

Ayat ini menolak budaya melindungi kroni, kompromi politik dengan pesalah, atau menutup kesalahan demi kelangsungan kuasa.

 

  1. Model Iltizam politik  dalam sunnah Nabi SAW
  •  Tiada kekebalan politik dalam pelaksanaan hukum

Apabila pembesar Quraisy cuba membebaskan seorang wanita bangsawan daripada hukuman mencuri, Nabi SAW bersabda:

“Demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya.”

Ini adalah prinsip tanpa takut, tanpa pilih kasih yang mana undang-undang mengatasi kedudukan dan tiada kekebalan elit.

  •  Pemimpin wajib bersungguh-sungguh menasihati rakyat

Sabda Nabi SAW:

“Tidaklah seorang pemimpin yang tidak bersungguh-sungguh memberi nasihat kepada rakyatnya, melainkan dia tidak akan masuk syurga.” 

 

Asas iltizam politik ialah tidak boleh takut hilang jawatan, tidak tunduk kepada tekanan parti dan tidak memilih kes tertentu sahaja untuk bertindak.

  •  Larangan menerima hadiah yang membawa konflik kepentingan

Nabi SAW menegur seorang amil yang menerima hadiah:

“Mengapa tidak kamu duduk di rumah ayahmu dan tunggu hadiah itu datang?” (Bukhari)

Ini adalah asas awal undang-undang konflik kepentingan yang inti pati kepada integriti moden.

 

  1. Khulafa’ ar-Rasyidin: Manifestasi iltazam politik dalam pemerintahan
  • Abu Bakar: Memperteguh hak yang lemah

Ucapan pelantikannya terkenal:

“Yang lemah di sisimu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya; dan yang kuat di sisimu adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak orang lain daripadanya.”

Ini adalah asas kedaulatan undang-undang dalam Islam.

  •  Umar al-Khattab: Audit kekayaan pemimpin

Umar mewajibkan setiap gabenor untuk mengisytiharkan harta, disiasat jika tiba-tiba kaya dan menyerahkan hadiah peribadi kepada baitulmal.

Ini antara sistem integriti paling tegas dalam sejarah manusia.

  •  Ali bin Abi Talib: Politik berprinsip dalam era fitnah

Beliau menolak kompromi politik demi prinsip dengan menyatakan “Kebenaran tidak diukur dengan manusia tetapi manusia diukur dengan kebenaran.”

Ali menunjukkan iltizam politik bermula dengan prinsip, bukan kelangsungan kuasa.

 

  1. Pandangan ulama: Iltizam politik sebagai rukun kepemimpinan
  •  Imam Al-Mawardi

Dalam Al-Ahkam as-Sultaniyyah, beliau menegaskan pemimpin mesti menegakkan keadilan, berani melawan kezaliman dan melaksanakan hukum tanpa pilih kasih.

  •  Ibn Khaldun

Beliau menegaskan kerosakan negara bermula dengan kerosakan pemerintahnya.

Antara punca keruntuhan negara menurutnya ialah rasuah budaya, pemimpin hilang keberanian moral dan keadilan tidak ditegakkan.

  •  Imam Ghazali

Beliau menyifatkan kuasa politik sebagai ‘penjaga agama’ yang menuntut hikmah, keberanian moral dan ketegasan terhadap kezaliman.

Tanpa iltizam politik, pemerintahan kehilangan roh.

 

  • Ibnu Taimiyyah

“Allah menegakkan negara yang adil walaupun kafir tetapi tidak menegakkan negara yang zalim walaupun Muslim.”

Ini menegaskan bahawa keadilan mengatasi identiti.  Inilah asas moral kepada iltizam politik.

 

Cabaran di Malaysia

Malaysia melaksanakan pelbagai usaha antirasuah seperti pengukuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pelan Antirasuah Nasional, peningkatan pendakwaan dan reformasi kewangan awam.

Namun iltizam politik masih dipersoalkan kerana dakwaan pendakwaan selektif, pembiayaan politik belum direformasikan, pelantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak sepenuhnya telus, budaya sokongan politik berasaskan kroni (patronage) masih wujud.

Islam menuntut iltizam politik yang lebih tegas dengan tiada kompromi terhadap rasuah, undang-undang untuk semua, ketelusan menyeluruh dan reformasi institusi secara berani.

Fardu amanah

Islam tidak sekadar meminta pemimpin bersifat baik sebaliknya menuntut keberanian politik untuk menolak rasuah, mengatasi kepentingan diri, menegakkan keadilan tanpa memilih bulu, membanteras kezaliman walaupun menjejaskan sokongan politik.

Dalam Islam, iltizam politik bermaksud keberanian moral untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dalam apa jua keadaan, berdasarkan amanah Allah serta tanggungjawab terhadap manusia.

Selagi pemimpin berpegang pada prinsip ini, negara akan makmur dan kuat.

Jika tidak, sejarah membuktikan kezaliman akan meruntuhkan apa jua yang dibina.

Malaysia masih punya harapan dan ia hanya menjadi kenyataan apabila iltizam politik menjadi tunjang setiap keputusan pentadbiran.

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN