Pecutan Danish jadi tumpuan

Pecutan Danish jadi tumpuan

Danish Iftikhar Muhammad Roslee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Acara lubuk emas Sukan SEA 2025, olahraga akan membuka tirai hari ini dengan dengan tumpuan pastinya terarah kepada saringan acara riben biru yang menampilkan atlet negara yang berusia 18 tahun, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.

Danish akan membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA dengan tugasan besar diberikan apabila bakal menggalas cabaran dalam tiga acara iaitu 100, 200 dan 4×100 meter (m) lelaki, sekali gus menjadi prospek paling menarik untuk diperhatikan.

Bergelar juara pecut Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Danish memiliki potensi mencipta kejutan selepas muncul antara pelari paling ‘laju’ musim ini dengan catatan 10.26 saat dalam 100m, yang meletakkannya pada kedudukan gangsa berdasarkan ranking Asia Tenggara.

Danish dijangka berdepan cabaran sengit wakil tuan rumah, Puripol Boonson serta pelari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri di mana catatan terpantas kedua-dua pelari itu adalah 10.15s dan 10.21s.

Danish melakukan catatan terbaik pada Terbuka Malaysia pada Ogos lalu, manakala Puripol melakukan catatan terpantas itu di Chongqing, China pada Mei dan Lalu pada Kejohanan di Miyakonojo, Jepun bulan lalu.

Pada edisi 2023 di Kemboja, Soraoat Dabbang dari Thailand memegang status manusia terpantas Asia Tenggara selepas melakukan catatan 10.37s.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil bagaimanapun meminta orang ramai bertenang dalam menilai kemampuan Danish.

“Orang ramai atau sesiapa pun boleh meletakkan jangkaan sebab (melihat) pencapaian diraihnya, tetapi kami melihat secara keseluruhan. Kami bukan saja melihat kepada jangkaan, tetapi merujuk kepada data, fakta dan statistik.

“Orang boleh buat andaian pelbagai-bagai tapi data statistik yang benar-benar tepat adalah perkara yang perlu dikaji semula. Ini (jangkaan ramai) perkara biasa dilalui atlet dan jurulatih. Biarlah atlet muda ini bertanding dulu,” katanya.

Selain Danish, tumpuan turut terarah kepada tonggak senior negara yang kembali mengetuai cabaran seperti Umar Osman (400m), Andre Anura Anuar (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Grace Wong (baling tukul besi wanita) yang kesemuanya pemenang emas di Kemboja, dua tahun lalu.

Cabaran beberapa nama berpengalaman lain seperti Jackie Wong (baling tukul besi), Queenie Ting (lempar cakera) dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah) juga tidak boleh diketepikan selepas mereka meraih perak pada edisi 2023, sekali gus berpeluang menukar kepada warna emas pada edisi kali ini.

Namun kem negara sedikit tempang selepas juara 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy, terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot paha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN