Modenisasi sempadan tingkat kecekapan, ketelusan

Modenisasi sempadan tingkat kecekapan, ketelusan

PELAKSANAAN pintu pagar automatik memodenkan sempadan, mempercepat pemeriksaan dan mengekalkan integriti keselamatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAWALAN keselamatan di pintu masuk negara terus diperkukuh dengan pelaksanaan pintu pagar automatik (autogate) sepenuhnya mulai Jun tahun hadapan, sekali gus membantu menangani isu counter setting serta mengurangkan kebergantungan pemeriksaan manual oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Sebanyak 635 pintu pagar automatik akan dipasang di 125 pintu masuk negara menjelang 2028 bagi melancarkan urusan keluar masuk serta mengurangkan kesesakan di pintu masuk udara, darat dan laut, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan  Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata pelaksanaan pintu pagar automatik bagi mengekang perbuatan salah laku.

Menurut  Zakaria, JIM mula mengoperasikan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang berupaya menganalisis data pelawat dan pelancong yang memasuki negara ini dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kecekapan sistem yang diperkasa dengan teknologi seperti ABIS, RAE dan AI membolehkan pegawai Imigresen atau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertugas di pintu masuk membuat keputusan dengan lebih pantas serta tepat.

Bukan itu sahaja, peranan mereka juga akan berubah dengan pelaksanaan pintu pagar automatik sepenuhnya yang mana perubahan ini disusun atur menerusi penstrukturan semula organisasi hasil daripada analisis Pemprofilan Kesepadanan Pekerjaan (JAP) yang sedang dibangunkan di bawah NIISe. 

Dalam pelaksanaan sistem berteknologi tinggi ini, tidak dapat dielak gangguan sistem atau masalah teknikal berskala besar, termasuk keperluan mengekalkan kaunter manual sebagai sokongan.

Zakaria memberitahu beberapa kaunter manual masih disediakan dalam jumlah terhad bagi menghadapi sebarang gangguan teknikal serius atau situasi luar jangka, termasuk bencana.

Namun begitu, Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) diperkukuh bagi meminimumkan risiko gangguan teknikal berskala besar.

Sebagai langkah kesiapsiagaan, pelan kontingensi disediakan bagi memastikan kesinambungan operasi sekiranya berlaku gangguan sistem atau masalah teknikal berskala besar.

Dari aspek sokongan infrastruktur, penempatan generator set dilaksanakan di lokasi strategik bagi menjamin bekalan elektrik berterusan sekiranya berlaku gangguan kuasa.

Dari sudut sistem, pendekatan seni bina tiga lapis diguna pakai, dengan operasi utama berasaskan server pusat. Namun demikian, bagi meningkatkan daya tahan sistem, beberapa lokasi terpilih turut dilengkapi dengan server tempatan. 

Bagi lokasi yang tidak mempunyai server tempatan, operasi masih boleh diteruskan secara berdikari (offline mode) dan semua transaksi dikemas kini serta diselaraskan secara automatik ke server pusat sebaik sahaja sambungan sistem kembali stabil.

Sebagai sokongan tambahan, kaunter manual akan terus disediakan dan beroperasi bagi memastikan urusan pelanggan tidak terjejas sepanjang tempoh gangguan.

Pendekatan ini memastikan perkhidmatan kritikal kekal berfungsi, meminimumkan impak kepada operasi harian serta mengekalkan tahap penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

NIISe direka bentuk dengan kemampuan berintegrasi secara bersepadu dengan pelbagai pangkalan data keselamatan, termasuk senarai amaran dan notis antarabangsa seperti Interpol, bagi meningkatkan kawalan sempadan dan pengurusan risiko secara menyeluruh.

Melalui integrasi Pangkalan Data Global (Notis Interpol), NIISe mempunyai kemampuan berintegrasi dengan pangkalan data antarabangsa yang relevan, seperti notis dan senarai amaran Interpol melalui titik capaian rasmi ditetapkan. Ini membolehkan pelaksanaan tapisan keselamatan penumpang awal (APS) yang efektif. 

Di peringkat nasional, sistem ini turut berhubung dengan pangkalan data daripada beberapa agensi kerajaan utama, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Tetingkap Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) serta Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk pengesahan pasport Malaysia.

Integrasi ini juga merangkumi pangkalan data keselamatan lain seperti Dokumen Perjalanan Hilang atau Dicuri (SLTD), memastikan analisis risiko keselamatan dijalankan dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

Kerajaan menekankan usaha ini selaras dengan aspirasi memodenkan keselamatan negara melalui penggunaan teknologi terkini dan perkongsian maklumat yang cekap.

 

DITAHAN TIDAK BERMAKSUD BERSALAH

 

Dalam perkembangan lain, Zakaria juga berkongsi tentang kes rasuah melibatkan JIM. Apa yang ingin ditekankan setiap pegawai yang ditahan SPRM  tidak semestinya bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.

Sebagai sebuah badan penguatkuasa, JIM melihat perkara tersebut sebahagian proses perundangan yang mana individu atau pegawai yang ditahan sebenarnya hanya dianggap sebagai suspek dan belum bersalah lagi.  

Kesalahan bagi kes yang disiasat akan ditentukan melalui proses pertuduhan di mahkamah sekiranya terdapat bukti-bukti kukuh bagi kesalahan yang dilakukan. 

JIM mempunyai prosedur tatatertib  yang tertakluk pada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 dan Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib 1993. 

Prosedur ini diguna pakai semua organisasi dalam perkhidmatan awam. Mana-mana pegawai yang ditahan  SPRM tetapi belum didakwa di mahkamah terlebih dahulu menjalani pertukaran dalaman. Langkah ini bertujuan memastikan pegawai terbabit tidak mempunyai akses kepada sebarang perkara yang sedang disiasat, sekali gus menjadi langkah awal bagi mengekalkan integriti proses siasatan.

Seterusnya, JIM juga akan melaksanakan tindakan tatatertib setelah menerima laporan daripada SPRM berhubung status kes pegawai terlibat atau lebih lebih dikenali sebagai LSPRM.

 

TIDAK LINDUNG SESIAPA

JIM sentiasa mengamalkan ketelusan dalam melaksanakan  tanggungjawab dan amanah sebagai agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan kepada pelanggan. 

 Zakaria menegaskan, JIM tidak pernah melindungi sesiapapun sama ada kartel dan individu yang terlibat dalam isu rasuah,  perbuatan tidak berintegriti atau berkompromi  dengan pegawai atau individu terlibat dengan kesalahan.  

Maklumat-maklumat yang ada berhubung kesalahan rasuah akan dikongsikan dari semasa ke semasa.

Sebagai makluman jua, sebanyak 34 tangkapan dan 11 pertuduhan yang dibuat SPRM pada 2024 merupakan hasil perkongsian maklumat dalaman daripada JIM melalui Bahagian Integriti JIM. 

JIM akan sentiasa berkerjasama dengan pihak SPRM bagi memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan warga jabatan diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×