Inovasi digital angkat produktiviti sawah padi

Inovasi digital angkat produktiviti sawah padi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA seseorang berjalan di sekitar kawasan sawah padi di Sekinchan, mereka mungkin menyedari kewujudan peranti perangkap serangga berkuasa solar yang dipasang di tepi kebanyakan sawah padi. 

Lebih daripada sekadar berfungsi sebagai perangkap serangga, seluruh peranti ini turut dipasang dengan rod kecil litar bersepadu (IC) dan kamera untuk merakam visual serangga melalui penggunaan aplikasi. Cara ini membolehkan serangga dikenal pasti hanya melalui telefon. 

Kegunaan peranti ini untuk membolehkan pesawah memantau keadaan serangga perosak serta mendapatkan pengecaman masa nyata terhadap serangga yang sering merosakkan sawah padi secara besar-besaran. 

Melalui transformasi kaedah pemantauan serangga ini, ia dapat mengurangkan kemungkinan pesawah hanya menyedari serangan perosak setelah sebahagian besar sawah dijangkiti.

Selain itu, pelancong dengan mudah melihat penggunaan teknologi moden oleh pesawah tempatan terutamanya pada musim penaburan benih iaitu September dan Oktober. Antara teknologi tersebut ialah dua mesin penting yang diimport dari Taiwan, iaitu Pengisih Dulang Benih Padi dan Sistem Semaian Anak Padi Berjentera.

Mesin pertama memastikan tanah dan benih diedarkan secara seragam untuk pertumbuhan anak benih yang optimum, manakala mesin kedua meningkatkan keseragaman pertumbuhan anak benih, mengurangkan kos buruh dan mengoptimumkan penggunaan benih. Sudah tentu, proses pengeluaran besar-besaran yang cekap ini membantu memodenkan penanaman padi sejak beberapa tahun lalu.

Selain penanaman padi, seorang tokoh kelahiran Sekinchan, Datuk Pua Khein Seng, mencipta nama sebagai seorang usahawan Malaysia yang berjaya dalam industri semikonduktor hari ini. 

Dilahirkan dalam keluarga petani sayur di Sekinchan, Khein Seng memilih untuk menceburi sektor elektronik yang pada ketika itu bukan kerjaya utama penduduk tempatan di Sekinchan. Usaha keras beliau di Taiwan membawa kejayaan besar dalam industri semikonduktor dan kini beliau masih dikenali sebagai individu di sebalik penciptaan pemacu USB cip tunggal pertama dunia pada 2001. 

Dengan menggabungkan pengawal (controller) dalam satu cip, reka bentuk sedemikian menjadikan pemacu USB lebih padat dan lebih murah untuk dihasilkan secara besar-besaran. 

Sehingga kini, syarikatnya di Taiwan, Phison Electronics Corp., beroperasi dengan 4,000 orang pekerja dan memiliki nilai bersih sebanyak AS$7.82 bilion (RM32.3 bilion) pada setakat November 2025. Perlu diingatkan juga inilah syarikat yang memasang peranti perangkap serangga berkuasa solar di kawasan sawah padi di Sekinchan.

 

Merentasi tiga domain

Tanpa ragu, peranti perangkap serangga berkuasa solar merupakan contoh klasik inovasi sosial digital (DSI)  yang ditakrifkan sebagai proses pemanfaatan teknologi digital untuk transformasi tingkah laku manusia supaya menjadi lebih berkesan, efisien dan mampan dalam menangani cabaran-cabaran masyarakat. 

Apa yang wajar diketengahkan walaupun terdapat elemen teknologi digital dalam kes ini, peranti perangkap serangga berkuasa solar harus diiktiraf sebagai alat yang mengubah amalan lazim pesawah yang selama ini memeriksa kemungkinan kehadiran perosak di sawah pada waktu yang tidak tepat.

Dengan pemasangan peranti ini oleh Phison, para pesawah dapat memeriksa kehadiran perosak dengan mudah melalui telefon pintar mereka dan jika ada, mereka boleh bertindak serta-merta dengan mengambil langkah bersesuaian terhadap spesies perosak tertentu yang menyerang sawah mereka. Ini mengurangkan secara drastik kemungkinan pesawah mengalami kerugian besar, seperti yang berlaku pada masa lalu. Akhir sekali, penggunaan tenaga solar juga menyuntik elemen kemampanan kepada kedua-dua fungsi teknologi digital tersebut.

Bagi penanaman padi di Sekinchan, rangkaiannya dengan Taiwan sudah lama terjalin. Allen Lim, arkitek kepada penggunaan teknologi tersebut yang juga mengendalikan Galeri Padi Sekinchan, tidak teragak-agak untuk berkongsi menghabiskan sekurang-kurangnya satu dekad berulang-alik dari Sekinchan ke Daerah Chia-yi (Taiwan) untuk mempelajari teknik serta penggunaan teknologi dalam penanaman padi moden. Kedua-dua mesin yang diimport dari Taiwan ini seterusnya mengubah penanaman padi secara tradisonal kepada yang moden di Sekinchan.

Melalui usaha-usaha penyesuaian teknologi oleh pesawah Sekinchan tanpa mengira kaum, hasilnya kini jelas kelihatan. Walaupun memiliki kawasan penanaman keseluruhan empat kali lebih kecil (19,057 hektar) berbanding Kedah, Sekinchan mencatat kadar hasil padi tertinggi di Malaysia pada 2023 dan masih kekal sebagai antara kawasan dengan kadar hasil tertinggi pada hari ini. 

Kejayaan ini kemudiannya dijenamakan semula sebagai Program Sawah Padi Pintar Berskala Besar gaya Sekinchan (SMART SBB) dan kini ia diperkayakan dengan varieti benih baharu serta internet kebendaan (IoT). Berikutan kemerosotan bekalan beras tempatan sejak kebelakangan ini, kerajaan Malaysia kini mensasarkan kejayaan Sekinchan sebagai model penanaman padi negara bagi menangani isu keselamatan makanan tersebut.

Akhir sekali, tokoh kebanggaan Sekinchan, Khein Seng, kini kembali ke Malaysia dengan pelaburan bernilai RM100 juta untuk sebuah syarikat pemula tempatan yang mereka bentuk storan kecerdasan buatan (AI). 

Dikenali sebagai MaiStorage Technology Sdn. Bhd., syarikat ini merupakan cabang daripada Phison yang berpusat di Hsinchu (Taiwan) dan ditugaskan untuk mengembangkan pasaran Asia Tenggara bagi produk terbaharu mereka iaitu stesen kerja aiDAPTIV+. 

Berbanding penyelesaian dan perkakasan AI di pusat-pusat data yang begitu mahal dan hanya mampu digunakan oleh syarikat-syarikat multinasional, aiDAPTIV+ menawarkan harga yang jauh lebih murah kepada semua lapisan masyarakat yang ingin menguasai AI.

Bergantung pada jenis kerja yang dikendali, aiDAPTIV+ boleh menjadi penyelesaian AI untuk sekolah, universiti atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Dengan akses internet yang stabil, mana-mana institusi di kawasan luar bandar juga boleh menggunakan stesen kerja tersebut untuk melatih model-model bahasa besar (LLMs) seperti mana yang dilatih oleh syarikat-syarikat multinasional dan tempatan di kawasan bandar. 

Justeru itu, akses AI di kawasan miskin bukan lagi sekadar impian. Malah, sekiranya Malaysia berjaya menjadi hab aiDAPTIV+ untuk ASEAN dan dunia membangun secara keseluruhannya, berpotensi untuk menghasikan pulangan ekonomi yang tidak terkira. Ini belum lagi termasuk maklamat jangka panjang MaiStorage untuk mengambil dan melatih jurutera-jurutera tempatan bagi mereka bentuk produk-produk AI baharu yang mungkin akan lahir dari Malaysia suatu hari nanti.

 Secara keseluruhannya, ketiga-tiga rangkaian ini merupakan manifestasi aktor sosial yang belajar daripada pengalaman Taiwan dan mengadaptasi hasil pembelajaran mereka dengan keadaan setempat. Ini mungkin menjadi titik permulaan bagi kajian pada masa yang akan datang mengenai penglibatan masyarakat Malaysia dengan Taiwan.-UTUSAN

 

LEE Chee Leong ialah Pensyarah Kanan di Institut Kajian China (ICS), Universiti Malaya, Ketua Editor Jurnal Antarabangsa Kajian China (IJCS) dan Penasihat kepada Dewan Perniagaan dan Industri Taiwan di Malaysia (TWCHAM).

 

MUHAMMAD Zulkarnain Zulkifli ialah  Penolong Editor IJCS dan Pelajar Sarjana Muda dari Jabatan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×