PETALING JAYA: Skuad hoki remaja negara berdepan misi wajib menang dalam pertemuan terakhir Kumpulan E Piala Dunia Hoki Remaja menentang England di Tamil Nadu, hari ini.
Malaysia kini berada di tangga ketiga dengan tiga mata dan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpeluang ke suku akhir jika menjadi dua pasukan di tempat kedua terbaik keseluruhan.
Berdasarkan format kejohanan, juara kumpulan layak ke suku akhir bersama dua pasukan di tempat kedua terbaik keseluruhan.
Mengulas lanjut, Nor Saiful berkata, pengalaman menentang England dalam kempen Piala Sultan Johor (SOJC) menjadi rujukan untuk pasukannya menghadapi skuad kendalian Jon Bleby.
“England satu pasukan yang kuat, kita pernah bertemu dengan mereka pada SOJC, kita tahu serba sedikit mengenai cara permainan mereka.
“Namun, saya menganggap mereka juga pemain yang baik mereka saiz fizikal yang cukup tinggi di bahagian tengah pertahanan dan serangan. Jadi, kita perlu pemain tambahan untuk menjaga kalau terlepas,” katanya.
Nor Saiful turut berkata, pemainnya perlu mengawal dengan rapi pihak lawan agar mereka tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk memasuki ke kawasan gol Malaysia.
“Saya rasa kalau dapat jaga pemain lawan dengan baik dan jangan bagi banyak peluang masuk ke dalam kawasan kita, peluang akan menjadi sama rata. Ada kemungkinan kita manfaat keputusan yang lebih baik
“Kita pun sedar England juga mahukan kemenangan dan mencari gol lebih baik sebab tempat kedua dalam kumpulan boleh layak ke suku akhir,” katanya. – UTUSAN










