KETIKA berita tentang seorang pelajar membunuh rakan sekolahnya tersebar beberapa bulan lalu, rakyat Malaysia sekali lagi terkejut, bukan kerana kes bunuh itu luar biasa tetapi kerana si pelaku juga masih bergelar pelajar.
Lebih mengejutkan, usia mereka di bawah 18 tahun. Soalan mula membuak dalam fikiran masyarakat, apa yang sedang berlaku?
Bila pelajar bertukar menjadi pembunuh, kita tidak boleh lagi sekadar menyalahkan remaja itu sebagai ‘budak nakal’ atau ‘tidak berakhlak’. Persoalan lebih besar, di mana silap masyarakat, ibu bapa dan rakan sekeliling?
Anak-anak hari ini mahir menggunakan telefon pintar sejak usia tiga tahun. Mereka bebas menjelajah dunia digital tetapi gagal membaca emosi manusia di depan mata. Mereka biasa dengan permainan perang, kandungan ganas dan budaya ‘kandungan adalah raja’, namun tidak pernah diajar nyawa manusia bukan bahan tontonan atau hiburan media sosial.
Lebih membimbangkan, ada yang merakam pergaduhan dan kesakitan orang lain demi tontonan tular seolah-olah penderitaan manusia sudah tidak lagi layak dihormati.
Kita terlalu awal menyerahkan skrin kepada anak-anak, dalam masa sama terlalu lewat memperkenalkan erti empati. Bila anak menangis, kita suakan tablet untuk diam.
Bila mereka bertanya soalan tentang emosi, kita jawab ringkas kerana tiada masa. Akhirnya mereka belajar emosi manusia boleh ‘dipadam’ dengan butang ‘langkau’’, konflik boleh dihadapi dengan butang ‘keluar’ sementara perasaan orang lain boleh diabaikan dengan ‘skrol’.
Tidak dinafikan, teknologi mempercepat maklumat tetapi dalam sisi gelapnya, mampu membekukan hati. Anak menjadi celik digital tetapi buta emosi.
Kita bangga bila mereka tahu ‘swipe’ dan ‘tap’ tetapi kita tidak sedar mereka tidak tahu menatap wajah manusia dan memahami air mata. Dalam dunia yang semakin laju ini, kita didik mereka menjadi pengguna teknologi yang aktif tetapi pendengar emosi yang pasif.
PELAJAR HILANG ARAH
Realiti pendidikan hari ini menunjukkan silibus yang terlalu padat, seolah-olah pelajar hanya mesin yang perlu diisi fakta. Peperiksaan dijadikan satu-satunya ukuran nilai dan ranking sekolah dijulang lebih tinggi daripada kesejahteraan jiwa pelajar.
Dalam mesyuarat, pencapaian akademik dibentangkan dengan bangga sementara isu kesihatan mental hampir tidak dipedulikan. Guru juga terbeban dengan petunjuk prestasi Utama (KPI), silibus dan tuntutan pentadbiran. Masa mereka dihabiskan menyiapkan laporan dan bukti pengajaran. Akhirnya, ruang mendidik jiwa semakin hilang, diganti modul hafalan yang kering dan tidak berperasaan.
Ibu bapa pula semakin cenderung menilai anak melalui keputusan peperiksaan. Anak yang mendapat ‘A’ dianggap berjaya, yang gagal dilihat sebagai beban. Maka lahirlah generasi yang belajar kerana takut bukan kerana mahu memahami atau membina nilai diri.
Dalam budaya ini, empati dan adab tidak diberi tempat kerana tiada markah untuk kemanusiaan.
Pelajar kelihatan tertib di koridor sekolah tetapi di dalam hati mereka tersimpan rasa letih dan terasing. Mereka diajar untuk cemerlang di atas kertas tetapi tidak diajar bagaimana menjadi manusia yang tahu merasa dan memahami orang lain.
Sekolah semakin moden dan penuh slogan motivasi, namun dalam diam, jiwa pelajar semakin hilang arah. Mereka penat, sunyi dan tidak pernah benar-benar difahami.
Sebahagian ibu bapa tanpa sedar menyerahkan sepenuhnya tugas membentuk jiwa anak kepada sekolah. Anak dihantar awal pagi dan dijemput hampir malam, seolah-olah sekolah pusat jagaan dan rumah hanya tempat tidur.
Komunikasi di rumah pula semakin dangkal, sekadar bertanya tentang makan atau kerja sekolah, tanpa menyentuh emosi anak. Soalan penting seperti, “Apa yang kamu rasa hari ini?” atau “Ada sesiapa lukakan hati kamu?” hampir tidak wujud lagi dalam perbualan keluarga.
Perasaan anak-anak tidak lagi diurus melalui bicara tetapi disimpan dalam diam. Marah, sedih, terasing semuanya dipendam hingga menjadi barah emosi yang membiak senyap. Bila tekanan itu tidak lagi terbendung, akhirnya ia meledak menjadi tragedi.
Masyarakat terpinga-pinga lalu bertanya, “Kenapa jadi begini?”, sedangkan tanda-tandanya sudah lama ada, cuma kita tidak pernah betul-betul melihat atau lebih tepat, kita tidak mahu melihat.
Lebih membimbangkan, buli menjadi normalisasi, kekerasan dianggap ‘proses biasa’. Ada suara-suara yang berkata, “biasalah budak lelaki, kasar sikit. Buli adat untuk jadi kuat.”
Inilah punca bencana bermula. Bila kekerasan dinormalisasi dan empati mulai hilang. Bila hati tidak lagi merasa bersalah melihat orang lain disakiti, garisan antara bergurau dan membunuh menjadi kabur.
Kalau dulu buli dianggap ‘nakal’ tapi sekarang, buli datang dalam bentuk pembunuhan karakter, penghinaan digital, pengasingan sosial dan kini telah mengambil nyawa.
Masalah paling berbahaya ialah kita tidak pernah benar-benar mengajar anak mengurus emosi. Kita tekankan hafalan rumus dan teori tetapi tidak pernah melatih mereka berdepan dengan marah, kecewa atau rasa terhina.
Jadi, bila emosi itu memuncak, mereka mencari jawapan sendiri. Bukan dari nilai yang kita ajar tetapi dari dunia hiburan, filem, media sosial atau permainan.
KAMBING HITAM TAK DIDENDANG
Setiap kali tragedi seperti ini berlaku, kita pantas menuding jari menyalahkan guru kerana tidak memantau, menuduh sekolah cuai, mengatakan ibu bapa tidak mendidik atau melabel remaja sebagai kurang ajar. Namun jarang sekali kita berani bertanya soalan paling penting, “sistem yang kita cipta ini, adakah benar-benar membentuk manusia atau hanya melahirkan mesin yang tahu patuh dan berfungsi?”
Realitinya pedih. Kita sedang menuai apa yang kita tanam. Kita ‘tanam’ budaya kompetitif tanpa jiwa, ‘menyiram’ anak dengan teknologi tanpa hikmah dan ‘membaja’ sistem dengan prestasi tanpa nilai.
Maka apabila juvana mula membunuh juvana, itu bukan sekadar kisah tragis tetapi cermin yang memantulkan siapa kita sebagai sebuah masyarakat.
Artikel ini bukan ditulis untuk menuduh sesiapa tetapi untuk mengejutkan kita dari lena. Jika kita tidak segera membina budaya mendidik hati, bukan sekadar mengasah otak, maka tragedi seperti ini hanyalah permulaan. Pada akhirnya, sebuah negara tidak runtuh kerana kekurangan manusia pandai tapi apabila orang pandai hilang hati.
Perlu diingat, segalanya bermula dari rumah lagi. Ibu bapa adalah pendidik sebenar.-UTUSAN
PENULIS ialah Ketua, Pejabat Perundangan & Pematuhan Tadbir Urus, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) @UIAM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, Pahang.











