Fernandes berehat sebulan, terlepas derbi Manchester

Fernandes berehat sebulan, terlepas derbi Manchester

Bruno Fernandes
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Kecederaan otot paha dialami kapten Manchester United, Bruno Fernandes berkemungkinan menyebabkan dia terlepas perlawanan derbi menentang Manchester City bulan depan.

Kecederaan dialami Fernandes diketahui ketika pasukannya tewas 2-1 di tangan Aston Villa, Ahad lalu selepas dia mengadu sakit di penghujung babak pertama.

Pengendali United, Ruben Amorim mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan tisu lembut, dipercayai pada otot paha.

Pemain berusia 31 tahun itu difahamkan tidak dapat diturunkan bagi perlawanan Boxing Day menentang Newcastle, malah dijangka terlepas enam perlawanan berturut-turut, termasuk menentang Wolves, kunjungan ke Leeds dan Burnley, pusingan ketiga Piala FA menentang Brighton, serta derbi Manchester di Old Trafford pada 17 Januari ini.

Tarikh kepulangan Fernandes dijangka ketika lawatan ke Stadium Emirates menentang Arsenal pada 25 Januari dan ini kali pertama Fernandes terpaksa berehat panjang akibat kecederaan bersama United.

Sebelum ini, dia hanya terlepas dua perlawanan akibat kecederaan pada Mei 2024 dan satu perlawanan kerana sakit pada Mac 2022.

Amorim, 40, kini hanya mempunyai dua pemain tengah untuk perlawanan menentang Newcastle, dengan Kobbie Mainoo turut direhatkan akibat kecederaan betis.

Casemiro akan kembali selepas penggantungan satu perlawanan manakala Manuel Ugarte membuat penampilan pertama di Villa Park, Ahad lalu selepas disisih hampir tiga bulan.

United gagal mendapatkan pemain tengah baharu pada musim panas lalu selepas menumpukan perbelanjaan kepada bahagian serangan dengan pembelian Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko dengan nilai keseluruhan berjumlah 207.12 juta pound (RM1.1 bilion).

Red Devils ketika ini sedang memantau beberapa pemain seperti Elliot Anderson (Nottingham Forest), Adam Wharton (Crystal Palace), Carlos Baleba (Brighton) dan Alex Scott (Bournemouth) bagi menyusun semula bahagian tengah musim depan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN