'Dalang' sebenar kekal misteri

‘Dalang’ sebenar kekal misteri

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif (kiri) selaku Pengerusi Jawatankuasa Bebas (IIC) yang mengetuai siasatan isu dokumentasi pemain warisan Harimau Malaya menyerahkan laporan kepada Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi di Kelana Jaya, kelmarin. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Bebas (IIC) mengesahkan siasatan berhubung isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan tidak berjaya mengenal pasti secara muktamad individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen berkenaan.

Kegagalan berpunca daripada beberapa kekangan sepanjang siasatan dijalankan, sekali gus menyukarkan usaha merungkai punca sebenar yang mencalarkan imej bola sepak negara itu di mata dunia.

Dalam laporan setebal 59 muka surat itu, jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan kesukaran apabila Notari Awam yang mengesahkan dokumen terbabit gagal memberikan kerjasama, selain ketidakmampuan untuk mengesan ejen kepada tujuh pemain terbabit meskipun usaha munasabah telah dilaksanakan.

“IIC tidak dapat menentukan secara muktamad siapakah individu yang telah memalsukan dokumen-dokumen yang dipertikaikan,” kata jawatankuasa itu dalam laporan siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, IIC menegaskan, siasatan tersebut mendedahkan kelemahan serius dalam sistem pengurusan dan pentadbiran FAM, khususnya dari segi pengawasan serta kewajipan berhati-hati (due diligence).

Menurut IIC, tahap kawalan dalaman dan mekanisme pemantauan yang longgar telah membuka ruang kepada insiden itu berlaku tanpa dikesan atau dicegah lebih awal.

Jelas jawatankuasa itu, keadaan tersebut mencerminkan keperluan mendesak untuk penambahbaikan menyeluruh terhadap struktur tadbir urus dan sistem kawalan dalaman FAM demi mengelakkan krisis sama berulang.

IIC turut menekankan kepentingan memperketatkan pengurusan dokumentasi pemain, termasuk prosedur pengesahan dan pemantauan berterusan, sebagai langkah memperkukuh integriti pasukan kebangsaan.

Isu berkenaan kini menjadi perhatian serius selepas mengundang tindakan tegas daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Untuk rekod, FIFA sebelum ini mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas FAM serta menggantung tujuh pemain terbabit selama 12 bulan, hukuman yang dikekalkan selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak semua rayuan pada 3 November lalu.

FAM kemudiannya membawa perkara tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai saluran rayuan terakhir dalam usaha mempertahankan kedudukan dan maruah bola sepak negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN