Bukan mudah dominasi – Munoz

Bukan mudah dominasi – Munoz

Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mendominasi Liga Malaysia berikutan sistem dan pengurusan yang teratur.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kejayaan menjuarai Piala FA 2025 bukan mudah, meskipun pasukannya dilihat mendominasi pentas bola sepak Malaysia.

Bekas pengendali Watford itu melakar trofi kedua bersama Harimau Selatan selepas JDT membelasah Sabah FC 5-0 pada aksi final Piala FA kelmarin, sekali gus mengesahkan kejuaraan keempat berturut-turut kelab itu dalam saingan berkenaan.

Munoz mengakui tekanan untuk terus menang sebagai pasukan dominan menjadikan setiap kejayaan lebih mencabar.

“Bukan mudah untuk mendominasi seperti JDT di Malaysia. Saya pernah bekerja di banyak negara berbeza dan apa yang saya lihat di sini, JDT adalah sebuah pasukan yang hebat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Pengendali dari Sepanyol itu turut menegaskan kejayaan berkenaan adalah hasil kerja kolektif seluruh organisasi kelab, bukan sekadar pemain dan jurulatih.

“Kami mengawal keseluruhan perlawanan dengan identiti sendiri tekanan tinggi, penguasaan permainan dan disiplin taktikal.

“Semua ini tidak akan berlaku tanpa kerja keras pemain dan sokongan penuh staf di belakang tabir,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, JDT memperoleh jaringan menerusi Jonathan Silva, Jairo da Silva, Oscar Arribas, Manuel Hidalgo serta gol sendiri Rawilson Batuil, manakala Sabah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Miguel Cifuentes dilayangkan kad kuning kedua.

Munoz turut memuji visi pemilik kelab yang disifatkannya sentiasa selangkah ke hadapan dalam menyediakan fasiliti terbaik dan pemain berkualiti tinggi.

“Untuk menang berturut-turut bukan perkara biasa. Anda perlukan visi, impian besar dan struktur kelab yang kukuh. Inilah yang menjadikan JDT terus berada di tahap tertinggi,” katanya.

Kejayaan itu turut menandakan trofi ketiga dalam karier kejurulatihan Munoz selepas pernah menjulang kejuaraan liga bersama Dinamo Tbilisi pada 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN