Segerakan pemilihan jawatan No. 1 FAM

Segerakan pemilihan jawatan No. 1 FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengadakan pemilihan Presiden baharu dalam kadar segera bagi menentukan hala tuju badan induk itu ketika saat genting berdepan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, pemilihan segera untuk jawatan No.1 FAM itu perlu dibuat segera kerana pemangku presiden yang kini disandang oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi tidak boleh membuat keputusan.

“Boleh dipercepatkan (pemilihan presiden FAM), tetapi saya fikir Ahli Jawatankuasa (Exco) badan induk itu ada perancangan tersendiri. Memang pemangku sedia ada jalankan tugas, tetapi dia tidak boleh banyak buat keputusan sebab dia bukan presiden.

“Jadi, wajar dipercepatkan. Kita tidak mahu badan induk bola sepak terlalu lama tanpa pemimpin yang berkaliber, berpengaruh dan boleh memberikan nafas baharu kepada FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mohd Yusof yang juga Timbalan Presiden FAM diangkat selaku pemangku Presiden selepas Datuk Mohd. Joehari Mohd Ayub membuat keputusan mengejut melepaskan jawatan yang disandang pada 27 Ogos lalu.

Ditanya sama ada pemilihan baharu perlu dilakukan secara menyeluruh dalam FAM, Zulakbal berkata, tindakan itu tidak rasional memandang masih ada individu dalam badan induk itu yang memainkan peranan dengan baik.

“Kalau ikutkan popular (permintaan netizen), ramainya mahu reset satu pasukan dalam FAM, tetapi kena ingat dalam badan induk itu ada juga individu-individu yang berpengalaman, mampu bawa peruntukan dan tajaan kepada FAM.

“Kita tidak boleh pukul rata, kalua ikut geram semua mahu reset semula. Satu lagi perkara kena inga ialah bila mahu reset semua, ia juga bukan satu jaminan untuk FAM itu berjaya,” katanya yang juga pemegang Diploma Kejurulatihan AFC.

Dalam perkembangan lain, Zulakbal juga mempersoalkan peranan ahli gabungan itu yang dilihat sering membisu ketika FAM berdepan masalah besar termasuk ketika peletakan jawatan Presiden dan hukuman FIFA.

“Ahli gabungan tidak boleh biarkan Presiden terkial-kial, mereka patut ada sumbangan idea dan jangan pilih Presiden sahaja dan selepas itu tinggal. Ahli gabugan ada macam tiada, sama sahaja. Sepatutnya mereka fikir bagaimana strategi untuk hadapi masalah,” katanya.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Jawatankuasa Rayuan FIFA juga menolak rayuan Malaysia dan mengekalkan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×