Pendidikan sejati membina insan, bukan sekadar menjulang gred

Pendidikan sejati membina insan, bukan sekadar menjulang gred

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA semua merasa amat terkesan dengan deretan peristiwa hitam yang berlaku di pusat-pusat pendidikan dalam negara. Lebih menggusarkan lagi, perkara ini juga berlaku di sekolah rendah dan turut mengakibatkan kematian.

Ada yang mengambil kesempatan mempolitikkan keadaan, ada pula yang menuding jari menyalahkan sesetengah individu seperti Menteri Pendidikan, malah ada juga yang mendakwa pemansuhan peperiksaanlah yang menyebabkan segala masalah akhlak pelajar, meskipun dakwaan tersebut tidak munasabah.

Saya amat tertarik dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan isu ini pada majlis Sambutan Bulan Integriti Nasional Tahun 2025 di Ipoh baru-baru ini.

Baginda menyentuh masalah pendidikan dan bagaimana ia berpunca daripada ketaasuban terhadap unsur kebendaan seperti peperiksaan, penarafan dan petunjuk prestasi utama (KPI).

Sultan Nazrin menekankan keutamaan harus diberi untuk mengembalikan makna dan matlamat suci sebenar pendidikan. Menurut baginda, kita mungkin telah lama mengabaikannya kerana terlalu terikat dengan usaha mencapai KPI utama yang berbentuk angka.

Baginda bertitah secara terus terang tentang bagaimana kita semua terlalu tertumpu kepada penarafan dan perangkaan hingga terkhilaf membina jiwa dalam pendidikan.

Atas nama kecemerlangan pemarkahan akademik, kita mengabaikan tanggungjawab untuk membina rohani dan moral dalam melahirkan manusia insani.

Perkara inilah yang telah lama saya sebutkan sebagai antara masalah terbesar yang merebak ibarat wabak dalam masyarakat.

Kita mempunyai satu ketaasuban terhadap mengejar sudut material pendidikan semata-mata. Malah, ada juga yang begitu marah apabila ada yang tidak ingin mengejar perkara-perkara sebegini.

Sebagai contoh, ada beberapa institusi pendidikan yang tidak membayar badan penarafan untuk menyertakannya di dalam penarafannya kerana tidak percayakan sistem tersebut.

Hal ini dilihat sebagai sesuatu yang begitu kontroversial pula dan ramai juga yang mengecam mana-mana institusi yang berlaku sedemikian.

Walhal, kita harus ingat tujuan pendidikan bukan untuk mengejar nama besar institusi tetapi sebaliknya untuk membina insan penuntutnya. Jika silap pada niatnya, matlamat juga akan lari.

Apa gunanya para institusi mengejar tangga emas penarafan jika ia tidak menjadikan muridnya lebih baik? Penarafan hanya melihat pada kejayaan material sahaja namun tidak dapat mengukur sudut kemanusiaan dan kerohanian.

Saya pernah berbincang dengan beberapa orang yang mencadangkan idea untuk mengukur keislaman sesebuah institusi untuk penarafan universiti. Inilah bukti betapa taasubnya kita dengan perangkaan material sehingga perihal agama pun ingin ditarafkan.

Ketaasuban inilah yang membuat banyak institusi pendidikan enggan melakukan perkara yang penting untuk pembangunan masyarakat sekiranya ia tidak mengangkat tangga penarafan mereka.

Masing-masing hanya ingin menjaga nama besar institusi sehingga melupakan nilai kemanusiaan pendidikan, baik di universiti mahupun di sekolah.

Menurut Sultan Nazrin, peristiwa hitam yang berlaku di sekolah baru-baru ini ialah cerminan kegagalan pendidikan dalam memenuhi peranan membentuk nilai kemanusiaan.

Baginda melontarkan persoalan, apakah penekanan yang terlalu memberatkan KPI dan pencapaian gred peperiksaan menyebabkan falsafah asas dan tujuan sebenar pendidikan kini tersisih?

Bagi saya, inilah sebabnya pemansuhan beberapa peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Kanak-kanak sejak kecil hanya diajar untuk mengejar peperiksaan dari sekolah rendah hingga ke universiti.

Akhirnya, apa yang mereka pelajari sepanjang dunia persekolahan hanyalah untuk melepasi peperiksaan. Ramai juga yang sudah lupa nilai-nilai dipelajari dalam mata pelajaran seperti sejarah dan pendidikan Islam meskipun mendapat A+ dalam segalanya.

Kita sudah terlalu lama mematerialkan pendidikan sehinggakan generasi demi generasi merasakan hidup mereka hanya bertujuan mengejar kejayaan material sahaja.

Maka apabila beberapa peperiksaan dibuang dan digantikan peperiksaan di sekolah masing-masing, ramai yang marah kerana merasakan sekolah tiada tujuannya.

Banyak lagi perkara lain yang wajar ditekankan dalam pendidikan, namun tidak dapat diselesaikan melalui peperiksaan semata-mata. Seperti titah Sultan Nazrin, anak-anak dilatih tubi untuk menjawab soalan peperiksaan secara tegar, intensif dan teknikal tetapi adakah mereka tahu cara memahami dan menghormati perasaan orang lain?

Titah baginda, pendidikan bukan sekadar berperanan memenuhi agenda melahirkan siapa yang paling pandai. Lebih penting lagi, ia patut melahirkan anak yang bersifat insani. Erti sebenar pendidikan takkan tercapai jika jiwa mereka masih kosong dari sudut nilai.

Inilah yang menyebabkan berlakunya masalah akhlak dalam kalangan masyarakat seperti rasuah dan salah guna kuasa.

 

TERLALU taasub terhadap kejayaan material menyebabkan falsafah pendidikan sebenar tersisih, yang akhirnya menjadikan generasi muda fokus kepada pencapaian dunia semata-mata.

PENDIDIKAN SEJATI

Sultan Nazrin merungkaikan apabila tumpuan pendidikan kini gagal melahirkan manusia beradab, berfikir dan punya arah hidup yang betul sehingga integriti tak dapat dilahirkan dalam kalangan anak-anak kita.

Baginda turut menekankan lagi tanggungjawab membentuk nilai ini bermula dengan pendidikan rohani dan akhlak oleh ibu bapa yang kemudiannya disambung oleh guru, pemimpin dan masyarakat.

Tegas baginda lagi, pendidikan ialah keupayaan memberi arah bukan hanya arahan. Guru-guru pula bukan hanya penyampai pengetahuan tetapi penyemai nilai dan pendidikan. Guru bukan sekadar untuk mengisi otak sebaliknya turut membina jiwa manusia.

Oleh itu, sebuah pendidikan sejati harus menyatukan akal, perasaan dan akhlak agar lahir insan yang bukan sahaja cerdas mindanya tetapi luhur jiwanya.

Justeru, sekolah dan universiti bukanlah sekadar tempat memindahkan ilmu tetapi turut berperanan sebagai institusi pembentuk akhlak.

Lihatlah semula anak-anak kita. Sejak kecil sekolah mengejar tangga prestasi terbaik dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Habis sekolah, universiti pula sibuk mengejar penarafan dan KPI.

Apabila kita sibuk mengejar keemasan dunia di atas, anak-anak di bawah akan belajar yang sama daripada kita, iaitu hidup ini hanya perlu mengejar nilai keduniaan semata-mata.

Saya ingin membawa perhatian kepada soalan yang dititahkan Sultan Nazrin bagi kita semua merenung semula tentang hal ini. “Adakah kita tanpa sedar bertanggungjawab mencorak manusia yang tiada lagi bersifat insani tiada hati dan sifar jiwa?”-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN